Sentiasa bersabar dan tidak berputus asa menjadi azimat terhadap kejayaan dalam karier penjaga gol Felda United FC, Muhaimin Mohamad, yang kini semakin menunjukkan prestasi konsisten di saingan Liga Malaysia sejak tiga musim yang lalu.

Sekadar menjadi penjaga gol ketiga di Kedah di awal pembabitan, Muhaimin mengambil langkah berani untuk berhijrah bagi mendapatkan peluang untuk bermain dan nyata keputusan yang diambil mula menghasilkan pulangan lumayan.

Menjadi penjaga gol utama Kuala Lumpur pada 2015 sebelum berhijrah ke PKNS dan MOF FC pada dua musim berikutnya, nama Muhaimin mula mekar meniti dalam kalangan peminat bola sepak tempatan selepas mempamer kecemerlangannya dengan MIFA yang dijenamakan ke PJ City pada musim lalu.

Prestasinya pada dua musim lalu  menarik perhatian Felda United FC di bawah kendalian Nidzam Jamil pada musim ini dan penjaga gol berusia 28 tahun itu bersyukur kerana terus mendapat peluang bermain di pentas CIMB Liga Super.

“ Istilah putus asa itu tidak pernah ada dalam kamus hidup saya walaupun saya gagal mendapat tempat di Kedah yang ketika itu sudah ada beberapa penjaga gol berpengalaman.

“ Mungkin bukan rezeki saya di Kedah pada waktu itu biarpun tiga musim menanti tetapi saya yakin dengan kemampuan diri saya yang membuatkan saya tekad untuk keluar.

“ Keputusan saya berbaloi pada 2015 apabila dapat bermain selaku penjaga gol Kuala Lumpur sebelum saya buat keputusan ke PKNS pada musim berikutnya namun saya sekali lagi gagal meraih tempat selaku pemain utama.

“ Saya bertindak memohon keluar ke MOF FC secara pinjaman pada pertengahan musim 2016 hingga 2017 biarpun terpaksa bermain di Piala FAM dan daripada situ saya mula membina karier sebelum segala-galanya berubah sebaik bersama MIFA pada 2018.

“ Saya mahu berikan kredit kepada K. Devan yang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya kerana semasa di MIFA dan PJ City pada 2019, karier saya mula alami anjakan malah daripada situ, saya mula dikenali ramai penggiat bola sepak tempatan.

“ Kini saya bersyukur rezeki saya masih cerah dalam bola sepak kerana bersama Felda musim ini untuk musim kedua Liga Super, saya tekad mahu terus konsisten dalam tiap perlawanan yang dilalui, ” katanya.

Satu fakta menarik mengenai Muhaimin ialah dia merupakan anak kepada bekas pemain Kedah pada era 80-an dan awal 90-an iaitu Mohamad Ramlee.

Felda kini menduduki tangga kelima saingan CIMB Liga Super selepas meraih lima mata hasil daripada satu kemenangan dan dua keputusan seri.

Dalam masa sama, Muhaimin mendedahkan dia memasang impian mengintai tempat bersama pasukan kebangsaan namun akui banyak kerja keras perlu dilakukan jika mahu bersaing dengan penjaga gol sedia ada.

“ Siapa tidak mahu bermain dengan pasukan kebangsaan malah impian ini yang menjadikan saya sentiasa bersemangat dalam tiap perlawanan untuk peragakan aksi terbaik.

“ Namun, saya tahu perkara ini memakan masa dan apa yang penting, saya kena terus fokus bagi bermain dalam tiap perlawanan dengan Felda serta cuba meletakkan pasukan ini dalam kalangan empat terbaik pada CIMB Liga Super musim ini, ” katanya.

- Advertisement -