rio.2016Oleh Ku Mohd Lufti

Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA) memutuskan untuk memilih Khairulnizam Mohd Afendy dan Nur Shazrin Mohd Latif sebagai atlet yang akan mengisi 2 slot bagi mewakili Malaysia bagi acara perahu layar ke Sukan Olimpik 2016 yang akan berlangsung di Rio, Brazil.

 Perkara itu diumumkan Presiden Persatuan Pelayaran Malaysia, YB Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim,

“Jawatankuasa Pemilihan MSA telah mengadakan mesyuarat pada 25hb March 2016 bertempat di Wisma OCM, Kuala Lumpur yang turut dihadiri wakil dari Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Institut Sukan Negara (ISN), dan Majlis Sukan Negara (MSN) dan telah bersetuju dengan keputusan pemilihan Khairulnizam Mohd Afendy dan Nur Shazrin Mohd Latif bagi mewakili negara dalam kategori Laser Standard Lelaki dan Laser Radial Wanita dalam Sukan Olimpik kali ini,” katanya.

Tambahnya lagi, keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan ini telah mengambilkira pencapaian kedua-dua atlet berkenaan pada Kejohanan Perahu Layar Persekutuan Pelayaran Asia, ASAF yang telah berlangsung di Abu Dhabi pada 5 hingga 12 Mac 2016 lalu.yang telah melayakkan Malaysia secara merit.ke Sukan Olimpik.

“MSA turut bersetuju memilih Megat Fairuz Khairuddin sebagai Pengurus Pasukan manakala Norhisham Mat Nor sebagai Jurulatih di Rio 2016. Nama-nama atlet, pengurus dan jurulatih yang telah dipilih berkenaan akan dimajukan secara rasmi secepat mungkin kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk tujuan pengesahan akhir sebelum menyertai kontinjen negara ke Sukan Olimpik 2016,” jelas beliau.

Keputusan pemilihan ini dibuat lebih awal bagi membolehkan pasukan membuat persiapan awal selain menjalani latihan intensif sebagai persiapan akhir termasuk menyertai beberapa kejohanan luar negara yang telah dikenalpasti antaranya di Itali dan German sebelum berkampung di Brazil mulai Julai sehingga tamat Sukan Olimpik 2016.   

Untuk rekod, MSA mencipta sejarah baharu dalam arena sukan perahu layar negara apabila buat pertama kalinya berjaya melayakkan diri dalam dua kategori perahu layar ke temasya Sukan Olimpik setelah meraih kejayaan cemerlang dalam Kejohanan Kelayakan Asia ke Sukan Olimpik 2016 di Abu Dhabi baru-baru ini.

Pada kejohanan tersebut, Malaysia telah menghantar 8 orang atlet yang bertanding dalam kategori Laser Standard Men, Laser Radial Women dan 49er FX Women.

Kejohanan anjuran Persekutuan Pelayaran Asia (ASAF) dengan kerjasama Persekutuan Pelayaran Dunia (World Sailing) dan Persekutuan Pelayaran Emiriyah Arab Bersatu (UAE) diiktiraf oleh World Sailing sebagai pertandingan kelayakan Olimpik Rio 2016 peringkat benua Asia bagi acara Laser Standard Men, Laser Radial Women, RS:X Men, RS:X Women, dan acara berpasangan 49er Men dan 49er FX Women.

Kejohanan tersebut disertai 94 pelayar dari 21 buah negara Asia termasuk Jepun, Korea, Singapura, Thailand, Hongkong dan India dengan penyertaan paling ramai dari negara-negara timur tengah seperti UAE, Oman, Iran dan Bahrain.

Dato’ Kamaruzzaman yang juga merupakan Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation berkata, “Pihak Persatuan meletakkan sasaran untuk memperbaiki kedudukan pada Sukan Olimpik London 2012 selain mendapat tempat yang terbaik di kelangan negara Asia pada Sukan Olimpik kali ini. Apa yang diharapkan adalah sokongan dan doa dari seluruh rakyat Malaysia agar Kontinjen Negara berjaya mencapai kejayaan di Rio pada Ogos ini,

“Kami juga berterima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS), MSN, ISN, MOM dan KFC Malaysia, Ahli-ahli Jawatankuasa serta semua pihak yang telah memberikan sokongan berterusan kepada Persatuan dan pasukan perahu layar negara selama ini. In shaa Allah, Persatuan akan memastikan persembahan yang terbaik pada Sukan Olimpik ini demi mengharumkan nama negara di persada antarabangsa,” katanya.

- Advertisement -