TERENGGANU International Endurance Park (TIEP) sudah bersedia sepenuhnya menjadi tuan rumah acara berkuda lasak (Endurance) Sukan SEA ke-29 Ogos ini dengan kerja-kerja penambahbaikan dan naik taraf dijangka selesai sepenuhnya Jun ini.

Venue yang terletak di Pulau Bidong Setiu itu bakal menjadi tumpuan peminat acara berkuda lasak dan penduduk di yang berada di luar kluster utama turut meraikan semangat “Bangkit Bersama” pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang bermula 19 Ogos ini.

Setiausaha Bahagian Pembangunan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Norazli Indzam ternyata berpuas hati dengan venue berkenaan, sekiranya penganjuran acara pra-Sukan SEA dari 12-14 Mei lepas di TIEP menjadi ukuran.

“Berdasarkan kepada acara pra-Sukan SEA pada Sabtu dan Ahad lepas, saya dapati segalanya berjalan lancar kerana jawatankuasa penganjur tempatan berpengalaman luas menganjurkannya. Malah semua prosedur dan sistem sepanjang acara berjalan lancar…tiada masalah. Andai ada kekurangan, kita masih ada baki kurang tiga bulan untuk memperbaiki apa jua masalah,” kata beliau.

Kejohanan Pra-Sukan SEA 2017 itu disertai 72 peserta Indonesia, Singapura, Kemboja, New Zealand dan tuan rumah Malaysia dalam tiga acara utama iaitu 40km, 80km dan STC Endurance Challenge.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Sukarelawan acara, Ir. Che Mohd Afandi Mohammad menjelaskan, persiapan di venue sudah hampir siap sepenuhnya, termasuk trek perlumbaan, kandang kuda serta kemudahan bagi atlet dan pegawai.

“Trek sudah siap 98 peratus, manakala dua peratus lagi melibatkan penanda arah yang hanya akan dipasang dua minggu sebelum acara bermula kerana laluan akan merentasi kawasan hutan dan perkampungan.

“Kita juga sediakan enam kandang kuda yang mana setiap satu boleh menempatkan lebih 42 ekor kuda, cukup untuk menempatkan kuda-kuda negara peserta,” tambah beliau.

Kandang khas juga sedang dibina untuk tujuan kuarantin ke atas kuda-kuda yang dibawa dari luar negara nanti.

Aspek keselamatan menjadi keutamaan dengan lebih 300 petugas dari pasukan Polis Di Raja Malaysia (PDRM), RELA dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memastikan kelancaran dan keselamatan acara dan pengunjung.

Untuk melancarkan urusan liputan media, fasiliti sebaik mungkin disediakan termasuk bilik media khas dan sistem internet jalur lebar serta kemudahan lain. TIEP juga menjanjikan sistem keputusan dan maklumat terbaik sepanjang acara dengan menggunakan sistem keputusan yang efisien.

Dua pingat emas menjadi rebutan pada acara endurance Sukan SEA 2017 di TIEP nanti.

Dalam pada itu, Piala Perdana dan Pusingan Kelayakan ke-6 Pra-Sukan SEA 2017 akan berlangsung Kelab Ekuestrian 3Q pada pada 20-21 Mei ini.

- Advertisement -