Kontinjen Malaysia mempamerkan persembahan luar biasa pada hari ketiga Sukan SEA Pekak 2025, apabila melangkaui sasaran 16 emas dengan meraih tambahan enam lagi pingat emas, sekali gus mengukuhkan kedudukan dengan pungutan 21 pingat emas setakat hari ini.

Skuad badminton, catur dan boling negara menjadi tumpuan apabila menyumbang emas penting pada hari Ketiga, melonjakkan kontinjen Malaysia ke tahap yang belum pernah dicapai sebelum ini.

Sejarah tercipta di gelanggang badminton apabila gandingan beregu campuran, Edmund Teo dan Boon Wei Ying, menghadiahkan emas ke-16 yang dinanti-nantikan – pingat yang merealisasi sasaran negara – selepas menewaskan pasangan Indonesia, Christian Agustinus Abas dan Dzakiyya Amalia Ma’ruf. Selepas menang mudah 21-7 pada set pertama, pasangan Malaysia terpaksa berjuang habis-habisan dalam set kedua sebelum menamatkan perlawanan penuh debaran itu dengan kemenangan 26-24.

“Ini detik paling manis dalam karier badminton kami—membawa pulang emas yang memenuhi misi Malaysia. Kemenangan ini kami dedikasikan kepada semua yang sentiasa menyokong dan memberi semangat untuk kami buktikan kemampuan kepada negara,” kata Boon Wei Ying.

Momentum emas berterusan apabila gandingan beregu wanita Boon Wei Ying dan Foo Zu Tung memastikan emas ke-17 dengan kemenangan bergaya 21-13, 21-7 ke atas pasangan Indonesia, Ghaniya Fadhlilatun Nisa dan Dzakiyya Amalia Ma’ruf.

Di Ibis Styles Jakarta Mangga Dua Square, bintang catur negara Loo Pin Xie dan Ainur Ashikin Jupineh mempamerkan keserasian mantap untuk menjuarai acara Beregu Pantas Campuran, sekaligus menghadiahkan emas ke-18 buat Malaysia.

Kegembiraan berlanjutan di arena boling tenpin apabila skuad negara meraih tiga lagi emas. Pasukan trio lelaki, yang dibarisi Mohd Zaidi, Ho Choon Seng dan Mohd Firdaus, mencatat kemenangan pertama, disusuli trio wanita Siong Mui Hong, Huwainan Danduan Abdullah dan Siw Sing Hie. Mohd Firdaus kemudian melengkapkan hari penuh gemilang itu dengan kejuaraan acara Keseluruhan Lelaki (All Events), mengumpul 3,923 jatuhan pin.

Ketua Kontinjen, Sarkunan Balakrishnan, nyata terharu dengan pencapaian bersejarah meraih 21 emas setakat ini: “Tiada kata dapat menggambarkan perasaan ini. Bukan sahaja kita berjaya mencapai sasaran, malah kita telah melangkaui 20 emas. Kemenangan ini milik semua – atlet, jurulatih, pegawai, rakan strategik dan seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa berdiri bersama atlet pekak negara.”

- Advertisement -