Kuching FA mengambil pendekatan menimba pengalaman bersama pasukan ’senior’ Liga Premier dalam mendapatkan pandangan serta idea untuk lebih bersedia daripada segala aspek selepas muncul sebagai pendatang baharu dari Liga M3, musim depan.

Sabtu lalu, Mesyuarat Rakan Kongsi Luar Biasa MFL (EGM) menyaksikan beberapa perkara utama dibangkitkan termasuklah mengenai perlaksanaan Economic Control Program (ECP) dan hak penyiaran pasukan.

Mengulas lanjut, Presiden Kuching FA, Fazzrudin Abdul Rahman tidak menafikan bukan mudah sebenarnya buat pasukan mengharungi baik Liga Super atau Liga Premier yang mana mereka sememangnya memerlukan peruntukan sewajarnya untuk memastikan pasukan itu mampu bertahan lebih lama dalam liga.

Bagaimanapun, beliau memuji rata-rata pasukan yang lebih berpengalaman seperti Selangor, Pahang, Perak dan lain-lain yang tidak lokek untuk berkongsi pendapat dan nasihat bagi memastikan pasukan baharu seperti Kuching FA dan Kelantan United lebih bersedia dengan pelbagai perancangan agar mampu bertahan sehingga akhir musim.

“Sebagai pasukan baharu dalam saingan Liga Premier, memang banyak perkara-perkara baharu yang kami harus belajar.

“Termasuklah ECP sendiri yang merupakan sesuatu yang baharu buat semua pasukan dan sudah tentu, ia memerlukan sedikit masa kepada kami untuk melaksanakan segala keperluan kepada program ini.

“Melihat kepada perkara yang dibincangkan dalam EGM ketika itu, ia merupakan satu proses pembelajaran kepada kami dan sudah pasti saya perlu bertanya kepada pasukan-pasukan yang lebih berpengalaman untuk berkongsi idea.

“Mereka sangat bagus dalam memberikan pendapat dan bimbingan baik daripada aspek ECP dan juga mengenai hak penyiaran”, jelasnya.

Berhubung penyertaan Sarawak United yang turut akan beraksi dalam saingan Liga Premier 2020 bagi slot Selangor United FC, Fazzrudin cukup teruja dengan kehadiran pasukan itu yang turut sama membawa nama negeri Bumi Kenyalang itu.

Sudah pasti, beliau menjangkakan penyokong akan menghadirkan satu suasana yang luar biasa pada saingan musim depan sepertimana yang pernah ditampilkan mereka ketika aksi penentuan ‘play-off’ Liga Premier, bulan lalu antara Sarawak FA dan Kuching FA.

“Sememangnya saya sendiri tidak sabar untuk melihat dua pasukan ini beraksi sepertimana Kelantan United dan Kelantan FA yang turut sama beraksi dalam Liga Premier.

“Dengan adanya pasukan Kuching FA dan Sarawak United, saya percaya peluang akan lebih cerah untuk melihat lebih ramai pemain-pemain dari negeri Sarawak beraksi pada musim depan,” ujarnya.

- Advertisement -