Jurulatih skuad bola jaring Thailand, Chng Li Li tidak menolak kemungkinan tuan rumah, Malaysia mampu merampas pingat emas daripada juara bertahan, Singapura di temasya Sukan SEA ke 29 dalam acara bola jaring.

Chng melihat Malaysia mempunya kelebihan dari aspek sokongan moral kerana bakal beraksi di laman sendiri.

“Berbekalkan sokongan padu dari penyokong tuan rumah dan beraksi di laman sendiri, saya berasa Malaysia mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi emas dalam Sukan SEA kali ini.

“Malaysia masih mengekalkan barisan pemain mereka yang pernah bermain di Sukan SEA sebelum ini dilihat sebagai satu pasukan yang lebih kuat berbanding pasukan Singapura yang hanya mengekalkan lima pemain dari skuad dua tahun dahulu.” kata Chng Li Li ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, KLIA.

Mengulas tentang persiapan pasukannya, Chng  menjelaskan tumpuan akan diberikan satu perlawanan demi satu perlawanan khususnya pertemuan dengan Singapura dan Malaysia.

Beliau juga menyatakan skuad Thailand mensasarkan untuk mempertahankan pingat gangsa yang dimenanginya dua tahun lalu.

Thailand akan membuka aksi di Stadium Juara Bukit Kiara menentang Malaysia pada Isnin diikuti Filipina pada Selasa. Oleh RABIHAH AHMAD 

- Advertisement -