Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memutuskan untuk menyenaraikan pemain pemain B19 untuk mewakili Malaysia ke saingan Sukan SEA 2021 di Vietnam penghujung tahun ini.

Perkara ini antara agenda utama yang dibincangkan ketika Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM yang berlangsung baru baru ini.

Perancangan ini dilihat sebagai pelan jangka panjang untuk FAM dalam misi memburu kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

Prestasi hambar skuad B23 di Sukan SEA 2019 di Filipina dilihat antara faktor yang diambil kira oleh FAM dan merasakan sudah masa perubahan perlu dilakukan demi perlaksaan pelan jangka panjang.

Siapa yang akan mengendalikan skuad B19 masih belum diketahui kerana jurulatih yang akan dilantik perlu menggalas tanggungjawab yang besar untuk menyusun atur serta memberi pendedahan yang terbaik buat pasukan B19 sehingga ke kelayakan Olimpik Paris 2024.

Ketika ini skuad kebangsaan B19 tahun negara dikendalikan oleh Brad Maloney manakala pasukan Projek Pembangunan FAM – MSN kendalian Yusri Che Lah turut dibarisi pemain pemain bawah 19 tahun.

menerusi perancangan ini, pasukan B19 akan mengharungi dua Sukan SEA dan kelayakan AFC B23 tidak termasuk kejohanan kejohanan lain yang pastinya memberikan pendedahan yang serba lengkap untuk persiapan ke Kelayakan Sukan Olimpik 2024.

Bagi saingan Sukan SEA 2021, mungkin tiada sasaran yang diletakkan untuk skuad B19 negara tetapi Sukan SEA 2023 di Kemboja, FAM pastinya meletakkan satu sasaran khusus memandangkan pemain pemain ini sudah memiliki pengalaman.

 

- Advertisement -