hockey-jr-wc

Oleh Muhammad Aiman

Skuad hoki remaja negara menamatkan cabaran di Kejohanan Hoki Remaja Dunia di India, di kedudukan kesebelas setelah membenam Austria 2-1 menerusi penentuan penalti.

Speedy Tigers seharusnya mengesahkan kemenangan lebih awal, namun mensia-siakan kelebihan dua gol dengan membenarkan Austria bangkit menyamakan kedudukan 2-2 di masa sebenar.

Skuad Wallace Tan mendahului seawal minit kelapan menerusi jaringan padang Mohamed Zulhamizan dan menggandakan kelebihan menerusi Nik Aiman Nik Rozemi enam minit kemudian.

Dominasi bagaimanapun gagal diteruskan apabila Austria bangkit mengasak dan berjaya mendapatkan gol menerusi Oliver Binder pada minit ke-26 diikuti jaringan penyamaan Peter Kaltenbok pada minit ke-41 berpunca dari kesilapan pertahanan.

Penalti buat Malaysia disempurnakan oleh Nik Aiman Nik Rozemi dan Rafizul Mustafa tatkala Mohamed Amirol Arshad dan Nurshafiq Sumantri gagal menyudahkan pukulan masing-masing manakala Philip Schmid menyumbangkan gol buat Austria.

Untuk rekod, Malaysia hadir ke kejohanan ini sebagai pengganti saat akhir kepada Pakistan yang gagal mengesahkan penyertaan.

- Advertisement -