10March-103

10March-41

DIA mungkin belum menjadi pakar pecut handalan, tetapi pelumba muda Orica GreenEdge Caleb Ewan membuktikan dia lebih versatile apabila mampu menangani pendakian sukar di Gerik dan Titiwangsa, sebelum memenangi henjutan terakhir untuk menjulang kemenangan terbesar dalam kariernya setakat ini di Tanah Merah, Kelantan, semalam.

Dalam kayuhan Peringkat 3 Le Tour de Langkawi 2015 (LTdL) dari Gerik ke Tanah Merah sejauh 170km itu, Ewan ternyata lebih bagus berbanding pemenang dua peringkat di Langkawi dan Sungai Petani, Andrea Guardini (Astana) apabila mampu mengekori kumplan besar pelumba yang mengejar kumpulan pemecah di depan.

Malah, Ewan turut cemerlang bersama-sama rakan sepasukannya untuk menangkap kumpulan lima pelumba di depannya pada baki 9km, sebelum dia mengetepikan saingan dua pakar pecut lain dari MTN-Qhubeka, Youcef Reguigui dan Fabio Duque (Colombia) untuk menamatkan kayuhan dengan masa 4 jam 13 minit 32 saat.

Kemenangan itu membolehkan pelumba 20 tahun kacukan Australia-Korea itu merampas jersi kuning pendahulu individu keseluruhan dan jersi biru Raja Pecut yang dipegang Guardini sebelum ini, sambil mengakui keyakinannya memuncak untuk menghadapi beberapa laluan landai selepas ini.

“Selepas dua kali di tempat kedua, saya memang gembira dengan kemenangan hari ini tetapi ia sebenarnya sukar. Rakan sepasukan banyak membantu dan berkayuh dengan baik ketika cuba mengejar kumpulan lima pelumba di depan.

“Saya melihat Guardini dan ramai pakar pecut lain keletihan selepas pendakian pertama dan rakan sepasukan memastikan saya tidak tercicir. Kami juga tidak mahu mengejar terlalu awal kerana bimbang ada serangan balas daripada pelumba lain.

“Kaki saya semakin berasa kuat dan yakin untuk berkayuh pada peringkat seterusnya. Saya gembira hari ini walaupun tidak pernah berada dalam posisi selaku pendahulu jelajah seperti hari ini,” kata Ewan.

Jersi merah tidak bertukar tangan apabila Kiel Reijnen (UnitedHealthCare) terus mengukuhkan kedudukannya apabila berada di dalam kumpulan depan dan memungut mata maksimum 25 apabila menguasai puncak pendakian di Gerik dan Titiwangsa dan selesa kini mengumpul 37 mata, 19 mata di depan pencabar terdekat Natnael Berhane (MTN-Qhubeka).

Jersi putih turut bertukar tangan apabila pelumba Giant-Champion Systems, Zhang Wen Long yang menduduki tempat ke-16 pada peringkat itu, merampasnya daripada pelumba TSG Adiq Husainie Othman yang tercicir dalan kumpulan besar yang tiba kira-kira 24 minit selepas itu.

Peringkat 4 LTdL 2015 diteruskan dengan kayuhan 165.4km dari Kota Bharu ke Kuala Berang esok.

10March-59

10March-58

 

PICTURES by www.asiana.my

- Advertisement -