Bekas jurulatih Negeri Sembilan dan Melaka, Mat Zan Mat Aris mendedahkan tiada apa hendak dimalukan atau seolah-olah merendahkan reputasinya selaku pengendali berpengalaman apabila mengambil keputusan melatih kelab Liga M3, Melawati FC pada musim ini.

Sebaliknya beliau melihat ini detik terbaik untuk mengulangi apa yang pernah dilakukannya ketika membawa Melaka muncul juara Piala FAM pada 2015 selain berhasrat mahu mencurahkan pengalaman kepada pemain-pemain amatur dalam saingan Liga M3.

Malah semangat tinggi yang ditunjukkan oleh pihak pengurusan Melawati FC termasuk melakukan penjenamaan semula dari Dak-Dak Melawati (DDM) FC turut memikat hatinya untuk menyertai pasukan berkenaan.

“Setiap jurulatih ada ilmu dan kemahuan, jadi tidak perlu malu atau segan jika mahu menunjuk ajar pasukan-pasukan di bawah kerana mereka juga mahukan tunjuk ajar daripada jurulatih berpengalaman yang tidak secara langsung boleh membantu bola sepak kita secara keseluruhan.

“Cabaran bola sepak ini adalah sama di mana-mana iaitu daripada segi taktikal serta teknikal, tidak banyak berbeza walaupun pasukan Liga Super atau M3, yang penting adalah perancangan serta kesungguhan pemain ketika dalam perlawanan.

“Pemain dalam pasukan ini terdiri daripada ramai mereka yang berpengalaman yang pernah beraksi di Liga Super dan Liga Premier dan pemain muda yang berpotensi.

“Saya akan berusaha keras membantu Melawati FC yang rata-ratanya majoriti terdiri daripada anak-anak watan Melawati sendiri dan jika boleh saya berhasrat membawa mereka ke Liga Premier pada 2021, ” katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani kontrak dengan Melawati FC baru-baru ini.

Mat Zan yang berusia 61 tahun pernah membantu Kuala Lumpur muncul juara Piala FA pada tahun 1999 dan Terengganu selaku juara Piala Malaysia pada 2001.

Rekod paling membanggakan buat Mat Zan ialah ketika bersama Melaka apabila berjaya membawa pasukan itu naik ke pentas Liga Super dalam tempoh dua musim daripada saingan Piala FAM apabila muncul juara Liga Premier pada 2016 selepas Piala FAM.

Melawati FC yang menduduki tangga kelapan pada musim pertama Liga M3 dilihat mampu menjadi pencabar utama apabila berjaya mendapatkan penyerang utama Ultimate FC musim lalu, Faye Jacque selain mengikat dua pemain tempatan berpengalaman, S. Sivanesan dan M. Kavishkumar.

Sementara itu, pengurus Melawati FC, Mohd. Firdaus Kamar Ariff, mereka berasa teruja di atas kesudian Mat Zan melatih Melawati FC yang diharap akan membantu sedikit sebanyak perkembangan pemain kelab itu ke tahap lebih baik.

“Pengambilan Mat Zan selaku jurulatih adalah sebagai untuk penambahbaikan berbanding tahun lepas dan kami rasa ilmu yang beliau ada sedikit sebanyak akan banyak membantu kepada perkembangan pemain amatur dalam Melawati FC.

“Harapan untuk naik ke Liga Premier memang jadi impian kepada semua pasukan namun sebagai pasukan kerdil, buat masa ini kami hendak tumpukan kepada pembangunan kelab serta pemain-pemain, jika hendak ke Liga Premier itu adalah satu bonus.

“Banyak kami telah pelajari sejak musim lalu tetapi paling penting adalah kami sudah ada kelompok penyokong sendiri dan kami juga berjaya mendapatkan penaja-penaja yang terdiri daripada komuniti Melawati sendiri, “ katanya.

- Advertisement -