Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan perubahan tarikh dan venue perlawanan CIMB Liga Super membabitkan perlawanan Kedah bertemu Melaka.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, venue perlawanan itu yang sebelum ini dijadual berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar telah berpindah ke Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras manakala tarikh perlawanan pada 4 Oktober 2020 dipinda pada 5 Oktober 2020.

Jelas Dato’ Ab Ghani, menerusi permohonan Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) kepada MFL dan persetujuan bersama kedua-dua presiden iaitu Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali, perubahan kepada jadual perlawanan dilakukan memandangkan kes COVID-19 masih aktif dan meningkat di Kedah.

“Mereka bersetuju untuk meminda tarikh dan venue perlawanan yang dijadual di Stadium Darul Aman, Alor Setar ke Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras disebabkan khuatir dengan keadaan COVID-19 di Kedah berada dalam paras yang membimbangkan.

“Jadi bagi memastikan kelancaran perlawanan itu, kedua-dua pasukan telah mencapai kata sepakat untuk mengadakan perlawanan di Kuala Lumpur pada 5 Oktober 2020,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, MFL dalam satu kenyataan rasmi sebelum ini telah bersetuju untuk meminda tarikh perlawanan Kedah dan Melaka di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 2 Oktober 2020 kepada 4 Oktober 2020.

Keputusan itu dicapai apabila menerima permohonan daripada pasukan Melaka yang terpaksa menjalani proses kuarantin selepas pulang dari Sabah pada 28 September lalu.

- Advertisement -