Kedah kembali menemui sentuhan kemenangan setelah menewaskan Kelantan 1-0 pada Jumaat sekaligus mengelak daripada dimalukan buat kali ketiga berturut-turut di Stadium Darul Aman.

Gol tunggal Paolo Rangel di minit akhir separuh masa pertama membolehkan skuad bimbingan Nidzam Adha Yusoff itu melakar kemenangan ketujuh musim ini seterusnya  bangkit dari dua kekalahan sebelum ini.

Dengan 24 mata, skuad Lang Merah berada di tangga keempat dengan 24 mata.

Namun, kekalahan buat Kelantan yang dibimbing sementara oleh Yusri Che Lah menyaksikan mereka kekal di tangga tercorot dengan 11 mata, lima mata di bawah paras selamat sekaligus menjadikan misi untuk kekal di Liga Super semakin samar, semakin mustahil.

Dengan hanya lapan perlawanan untuk diharungi, Kelantan yang merupakan juara Liga Super 2011 dan 2012 dilihat tidak ada kualiti yang diperlukan untuk terus bersaing di kancah tertinggi bolasepak tempatan dan sudah tidak banyak boleh dilakukan untuk menyelamatkan musim mereka yang ‘dirosakkan’ Fajr Ibrahim. 

Sementara itu, pendahulu Liga Super, Johor Darul Takzim melebarkan kelebihan di tangga teratas kepada 11 mata setelah menundukkan pasukan tangga kedua, Pahang 1-0 di Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunus, Larkin pada Jumaat.

Jaringan tunggal Hariss Harun pada minit ke-17 memadai untuk skuad bimbingan Raul Longhi mengesahkan tiga mata sekaligus berada dalam landasan tepat untuk memburu gelaran juara Liga Super buat musim kelima berturut-turut.

Kekalahan bermakna Pahang bimbingan Dollah Salleh kekal di tangga kedua dengan 24 mata dan ianya hampir pasti akan menjadi penyudah anti- klimaks bagi saingan musim ini dengan persaingan dilihat akan berlangsung sengit untuk mengisi kedudukan kedua dan ketiga. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

 

- Advertisement -