sea_games_2017Oleh Muhammad Aiman

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kekal dengan pendirian untuk tidak menghalang penyertaan Myanmar di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 meskipun menerima desakan berterusan dari pelbagai pihak susulan kekejaman terhadap etnik Rohingya beragama islam. 

Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) menjadi badan terbaru meminta MOM mengusulkan kepada Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) agar membatalkan penyertaan Myanmar atau menggesa negara itu menarik diri dari bertanding di temasya sukan dwitahunan itu.

Dalam satu kenyataan, Pengerusi YAKEB, Dato’ Malek Noor berkata SEAGF perlu memanggil semua ahli gabungannya dan mencapai satu keputusan sebulat suara mengenai pembabitan Myanmar di KL 2017 tatkala isu pencabulan hak asasi manusia semakin serius di negara itu.

“Sukan adalah medium penyatupaduan, tetapi apa gunanya semangat kesukanan jika tiada nilai kemanusiaan, dan Malaysia tiada tempat untuk mereka yang tiada nilai kemanusiaan.

“Saya mewakili suara bekas atlet yang pernah menjulang nama negara di pentas sukan tertinggi sehingga ke Olimpik, meminta SEAGF membuat satu keputusan sama ada batalkan penyertaan atau suruh mereka tarik diri,” kata Malek yang pernah bergelar Mr.Asia sebanyak enam kali. 

Tambahnya, Malaysia sebagai negara anggota kanan ASEAN tidak boleh membiarkan Myanmar meneruskan polisi menzalimi dan mewujudkan ketegangan agama di negara tersebut justeru perlu mendahului negara lain di dalam menyatakan pendirian.  

“Sebagai sebuah negara islam, dan juga tuan rumah untuk temasya Sukan Sea kali ini, ini masanya kita bangkit bersama bagi menyatakan tidak kepada pencabulan hak kemanusiaan. Ini akan mencerminkan sejauh mana komitmen kita sebagai sebuah negara pencinta keamanan,” kata Malek lagi.  

Namun menurut Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Low Beng Choo, keputusan mengenai perkara itu sudah dibuat dengan Presiden MOM, Tunku Imran Tan Sri Jaafar sudah menyatakan pendirian MOM dalam hal ini dalam masa sama menekankan bahawa sukan tidak seharusnya dijadikan sebagai mangsa dalam hal ini.

Justeru, Beng Choo berkata MOM tidak akan mengusulkan sebarang cadangan mengenai pembatalan penyertaan Myanmar dalam mana-mana mesyuarat, termasuk dengan SEAGF.

“Namun ia terpulang jika dibangkitkan oleh jawatankuasa penganjur KL 2017 yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin. Jika membabitkan jawatankuasa penganjur, biar ia dijawab menteri. MOM tidak akan menghalang Myanmar,” kata Beng Choo.

- Advertisement -