MSNS/PHS dan MSSPP-PSHA masing-masing mara ke separuh akhir bagi merebut gelaran juara Divisyen 2 selepas mengungguli Divisyen 2A dan 2B pada perlawanan terakhir Liga Hoki Remaja Malaysia (TNBMJHL) 2021 di Stadum Hoki Nasional hari ini. 

Turut ke separuh akhir, Kedah Eagle Juniors dan MPBJ Black Widow yang masing-masing melengkapkan kempen Divisyen 2 sebagai naib juara. 

Pada saingan separuh akhir Divisyen 2 esok, MSNS/PHS bertemu MBPJ Black Widow manakala MSSPP-PSHA bertembung menentang Kedah Eagle Junior bagi memburu tempat ke final yang dijadualkan pada Ahad (26 Disember). 

Kemenangan besar 10-0 oleh MSNS/PHS ke atas Kedah Eagle Juniors hari ini menjadi pelengkap kepada rekod cemerlang MSNS/PHS yang memenangi kesemua tujuh perlawanan dengan 21 mata penuh. 

Muhammad Saifuddin Azli meledak hatrik untuk muncul sebagai penjaring kedua terbanyak kejohanan di belakang rakan sepasukan Muhammad Salman Sudirman. 

Salman menjaringkan satu gol hari ini untuk muncul penjaring keseluruhan terbanyak liga dengan 13 gol.

Manakala, Muhammad Izaaz Afdhal juga menjaringkan dua gol untuk membantu kemenangan besar MSNS/PHS hari ini, sekaligus meletakkan diri pada kedudukan ketiga dalam senarai penjaring terbanyak.

Namun, saingan terakhir Divisyen 2B menyaksikan kejutan apabila MBPJ Black Widow berjaya mengetepikan PPHT Thunderbolts 4-1 untuk lolos ke separuh akhir sebagai naib juara, dengan jumlah 9 mata keseluruhan berbanding 7 oleh PPHT. 

Gol jaringan Prihasif Muliato pada minit ke-21, Muhammad Syabil Aizam (ke-43), Afiq Ridzuwan (55”) dan Muhammad Aidil Jaafar (58”) melengkapkan kemenangan besar MBPJ Black Widow untuk memastikan tiket ke separuh akhir. 

MBPJ Black Widow berdepan MSNS/PHS di spearuh akhir esok. 

MSSPP-PSHA pula mengakhiri kempen liga dengan kemenangan 2-1 ke atas PHK-MSN Kelantanuntuk meraih 13 mata keseluruhan sebagai juara Divisyen 2B. 

Esok (24 Disember), tiga perlawanan terakhir bagi Divisyen 1 berlangsung dengan BJSS Thunderbolts bertemu SSTYMI Jr, AHP-SSP-MSP Thunderbolts melawan SMKDBL-PHJ-MSNJ manakala MBPJ Tigers berdepan Anderson Thunderbolts. 

- Advertisement -