myanmas-2

Oleh Muhammad Aiman

Malaysia gagal mencapai sasaran mara ke separuh akhir Piala AFF Suzuki 2016 setelah tewas 0-1 kepada tuan rumah, Myanmar dalam aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Thuwanna, Yangon sebentar tadi.

Jaringan David Htan dua minit sebelum tamat permainan memastikan Myanmar  menyambar slot terakhir ke separuh akhir selaku naib juara Kumpulan B dengan enam mata, tiga mata di belakang Vietnam yang unggul mengumpul mata maksimum setelah menewaskan Kemboja.

Malaysia dengan satu kemenangan ke atas Kemboja pada perlawanan pertama, berkesudahan di tempat ketiga.

Ia adalah kali pertama Myanmar mara ke kelompok empat terbaik sejak 2004 manakala bagi Malaysia, ini adalah kali ketiga mereka gagal melepasi halangan peringkat kumpulan selepas tersekat pada 1998 dan 2008.

Turun dengan misi wajib menang, Dato’ Ong Kim Swee mengambil risiko mempertaruhkan gandingan Norshahrul Idlan Talaha dan Ahmad Hazwan Bakri di barisan depan bagi memburu jaringan manakala Nazirul Naim Che Hashim menggantikan Matthew Davies di posisi bek kiri.

Namun terjemahan aksi di atas padang cukup mengecewakan, apabila Malaysia langsung gagal mencipta walau satupun percubaan tepat ke gawang sebaliknya terpaksa menangkis serangan bertali arus Myanmar yang dilihat lebih bernafsu memburu gol walaupun mereka hanya memerlukan seri untuk mara.

Skuad negara perlu berterima kasih kepada penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat yang beberapa kali muncul penyelamat dengan ketangkasan di gawang namun dia akhirnya tewas pada minit ke-88 setelah Htan memanfaatkan ruang terbuka di barisan pertahanan untuk melepaskan rembatan rendah.

Gol itu sudah cukup untuk membunuh semangat pemain negara yang sedar betapa misi ke separuh akhir sudahpun berkubur.

Di separuh akhir, Myanmar akan berdepan juara bertahan Thailand yang muncul juara Kumpulan B, manakala Vietnam akan berdepan Indonesia.

- Advertisement -