Pemain boling negara, Natasha Mohamed Roslan mensasarkan pencapaian peribadi yang lebih baik di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. 

Dua tahun lalu ketika temasya berlangsung di Singapura, Natasha bergandig cemerlang bersama Shalin Zulkifli, Saidatul Afifah Badrul Hamidi, Esther Cheah, Sin Li Jane dan Siti Safiyah Amirah bagi menghadiahkan pingat emas dalam acara berpasukan wanita.

Kali ini, pemain berusia 21 tahun itu bukan sahaja menanam tekad membantu mempertahankan emas tersebut tetapi turut mensasarkan mahu memenangi pingat dalam kesemua enam acara yang akan disertainya.

“Dalam tempoh dua tahun selepas penampilan sulung saya di Sukan SEA, saya telah banyak belajar. Hayunan dan prestasi saya lebih konsisten, ini memberi keyakinan kepada saya untuk memperbaiki pencapaian sebelum ini dan mensasarkan kejayaan lebih besar.

“Tahun lalu saya muncul juara remaja dunia, awal tahun ini menang Kejohanan Kebangsaan serta Peringkat Negeri.  Saya mahukan lebih kejayaan jadi saya harap dapat kekalkan prestasi baik ini sehingga tamat Sukan SEA.

“Beraksi di tempat sendiri memberi saya motivasi tambahan untuk mencapai sasaran tetapi dalam masa sama saya tidak nafikan ia juga memberi tekanan. Apapun, saya yakin boleh mengatasinya dan sudah bersedia mengalas cabaran,” kata Natasha.

Selain berpasukan wanita, pelajar tahun empat Universiti Sunway itu akan turut bertanding di dalam acara perseorangan, beregu, trio, masters wanita dan berpasukan campuran.

Pemain berasal dari Selangor itu turut berpendapat seandainya Malaysia berhasrat mendominasi acara boling di KL2017, mereka perlu berwaspada dengan cabaran Singapura yang dijangka sekali lagi tampil sebagai pencabar utama memandangkan kedua-dua pasukan seringkali bersaing sengit di pentas Sukan SEA.

Untuk rekod, pada edisi 2015, Malaysia memenangi keseluruhan lima pingat emas, satu perak dan empat gangsa manakala Singapura pula empat emas, lima perak dan satu gangsa. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

 

- Advertisement -