SKUAD wanita Pahang mengesahkan tempat ke perlawanan akhir bertemu juara bertahan Selangor pada saingan kemuncak TNB Piala Tun Abdul Razak ke-5 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil esok. 

Pahang, yang sebelum ini menumpaskan Pulau Pinang 5-2,  muncul sebagai juara Kumpulan Y selepas berpesta gol membenam Negeri Sembilan 10-1 pada perlawanan akhir Kumpulan.

Nuraini Rashid, pakar sudut penalti yang sudah menjaringkan 8 gol sehingga kini, bakal menjadi perhatian sebagai tonggak utama yang mampu mengemudi kejayaan Pahang sekaligus menebus kekalahan final di tangan Selangor pada 2017. 

Hanis Nadia Onn dan Wan Norfaiezah Saiuti, masing-masing dengan 4 gol menjadi tunjang yang diharapkan mahu menjulang skuad Pantai Timur itu. 

Pertembungan final Pahang-Selangor nyata menepati ramalan awal yang meletakkan kedua-dua pasukan sebagai pilihan utama pada edisi ke-5 ini. Yang pasti, Pahang, yang merupakan juara pada 2016, turun dengan misi menebus kekalahan 5-2 pada final 2017 di tangan Selangor. 

Menentang Selangor esok, jurulatih Pahang Muhammad Sabri mengakui kekuatan lawan tetapi yakin anak buahnya akan memberikan tentangan sengit.

“Selangor miliki pengalaman, diperkuat pemain senior serta punya kekuatan pada setiap bahagian. Perlawanan esok pasti sengit,” kata beliau. 

Selangor, yang menjuarai edisi 2019 selepas menumpaskan Kuala Lumpur 1-0 di final, diperkuat lapan pemain kebangsaan dan semestinya dengan label pasukan pilihan. 

Sandaran utama pastinya sekali lagi terarah kepada penjaring terbanyak Fatin Naimah Zaki yang sudah mengumpul 8 gol selain penjaring empat gol Fatin Syafikah Madh Sukri.

“Sememangnya Pahang merupakan lawan yang kuat tetapi kami sudah bersedia dengan percaturan tersendiri untuk pertahan kejuaraan. Saya jangkakan perlawanan akhir yang sengit,” kata jurulatih Selangor Ikmal Abdul Jabar. 

KEPUTUSAN PENUH:

Kumpulan X: Pahang mln Negeri Sembilan 10-1

Kumpulan Y: Kuala Lumpur mln PDRM 4-1

Klasifikasi 7-9: Melaka mln ATM 2-1

- Advertisement -