Kira-kira 25 pelumba, kebanyakannya berpangkalan di Eropah, merasai bahang cuaca panas yang menanti mereka dalam jelajah Le Tour de Langkawi 2018 apabila berkayuh dalam latihan secara beramai-ramai di laluan sekitar pulau pelancongan itu, pagi ini.

Dalam acara khas yang diadakan penganjur Ciclista Sports itu, pelumba daripada beberapa pasukan yang tiba sejak semalam, merasai terik matahari yang kemudian bertukar kepada gerimis – cuaca lazim tropika yang sering dapat disaksikan dalam jelajah berprestij Asia itu.

Dengan diiringi beberapa kenderaan dan motosikal polis dan marsyal perlumbaan, pelumba yang terdiri daripada pasukan Dimension Data, Rally, Bennelong Swisswellness, Hengxiang dilepaskan oleh wakil Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dari hotel penginapan rasmi di Kuah dan berkayuh sejauh kira-kira 50km sebelum berpatah balik.

Perlumbaan lapan peringkat bagi LTdL 2018 dijadual bermula di Kangar, Perlis pada Ahad ini, dua hari selepas Majlis Pengenalan Pasukan di Pulau Langkawi yang dijadual berlangsung di Dataran Lang, Langkawi dengan perlumbaan dijangka tamat di Kuala Lumpur pada 25 Mac.

Sejumlah 22 pasukan yang terdiri daripada pasukan WorldTour, Pro Benua, Benua dan pasukan kebangsaan mengesahkan penyertaan dalam edisi LTdL 2018 yang meliputi jarak keseluruhan 1,341km, melibatkan lapan negeri negeri di Semenanjung Malaysia.

Jelajah LTdL berstatus 2.HC dianjurkan Ciclista Sports dengan kerjasama penuh Kementerian Belia dan Sukan.

- Advertisement -