Pengurus skuad B-22 Thailand, Watanya Wongopasi berkata, “Kami datang dengan sasaran dan harapan tinggi. Kami telah senaraikan pemain muda terbaik dari Liga Thailand”.

Sukan SEA ke-29 bakal membuka tirai secara tidak rasmi pada Isnin dengan berlangsungnya perlawanan peringkat kumpulan bolasepak lelaki sekaligus menandakan bermulanya pemburuan ‘ibu segala pingat emas’ di temasya dwitahunan itu. Tumpuan sudah tentunya terarah kepada pasukan pilihan utama, Thailand yang datang ke Kuala Lumpur dengan motivasi tinggi mahu mengekalkan pingat emas buat kali ketiga berturut-turut setelah memenanginya di temasya Myanmar 2013 dan Singapura 2015.

Namun, skuad dibimbing Worawoot Srimaka itu yang juga juara 15 kali Sukan SEA boleh menjangkakan cabaran sengit bagi melengkapkan hatrik emas tatkala kesemua pasukan memasang tekad mahu memburu gemilang di KL2017.

Baik ianya tuan rumah, Malaysia mahupun pencabar seperti Vietnam, Indonesia, Singapura atau pasukan dianggap kerdil seperti Filipina, Timor Leste, Kemboja, Brunei dan Laos kesemuanya mensasarkan membawa pulang kejayaan manis dari bumi Malaysia.

Pengurus skuad B-22 Thailand, Watanya Wongopasi berkata, “Kami datang dengan sasaran dan ekpetasi tinggi. Persiapan untuk KL2017 telah bermula setahun lalu.

Jurulatih BolaSepak Thailand – Worawoot Srimaka

“Kami telah senaraikan pemain muda terbaik dari Liga Thailand dan mereka telah didedahkan dengan banyak perlawanan di luar ASEAN. Ini menjadikan mereka lebih bersedia dan boleh menangani tekanan untuk muncul juara.”

Sejak bolasepak di Sukan SEA dikhususkan kepada kategori umur B-23 pada 2001, hanya Thailand dan Malaysia pernah muncul juara – Thailand sebanyak enam kali pada 2001, 2003, 2005, 2007, 2013 dan 2015 dan Malaysia pula sebanyak dua kali.

Sementara itu, bermain di laman sendiri mungkin dilihat mampu memberi ransangan tambahan buat Malaysia bimbingan Dato’ Ong Kim Swee untuk merampas semula pingat emas yang kali terakhir dimenangi di Palembang pada 2011.

Skuad negara gagal melepasi halangan peringkat kumpulan dalam edisi Singapura 2015 dan harapan tinggi diletakkan ke atas mereka untuk menebus kecewa tersebut di hadapan jutaan penyokong sendiri.

Singapura yang turut kandas di peringkat kumpulan di laman mereka sendiri turut membara untuk membuktikan sesuatu sekaligus memperbaiki pencapaian terbaik mereka sebelum ini iaitu gangsa di edisi 2007, 2009 dan 2013.

Cabaran Myanmar yang cemerlang mara ke final dua tahun lalu setelah mengungguli Kumpulan A dan menewaskan Vietnam di separuh akhir juga tidak boleh dipandang enteng.

Malah dengan persiapan rapi selama lebih sebulan dan mempertaruhkan beberapa pemain yang beraksi di Piala Dunia B-20 2015, skuad bimbingan Gerd Zeise itu berpotensi mengulangi pencapaian itu sekali lagi.

Peningkatan ditunjukkan skuad muda Vietnam dan Indonesia pastinya menjadikan mereka sebagai antara pasukan perlu diberi perhatian.
Vietnam pada bulan lalu berjaya menempah tiket beraksi di pusingan akhir Kejuaran AFC B-23 dan mereka juga mahu memperbaiki pencapaian bergelar naib juara pada 2003, 2005 dan 2009.

Indonesia pula dua kali kecundang di final 2011 dan 2013, manakala di edisi 2015 mereka layak ke separuh akhir sebelum tewas kepada Vietnam dalam perlawanan penentuan pingat gangsa.

Selain itu, cabaran Laos, Kemboja, Timor Leste, Filipina dan Brunei juga tidak boleh sama sekali dipandang enteng. Masing-masing bukan lagi pasukan lemah atau belasahan dan telah mendapat pendedahan serta pengalaman yang cukup baik sebelum bertandang ke KL2017. Malah keyakinan setiap pasukan juga cukup tinggi dapat melakar kejutan di temasya kali ini.

Perlawanan pembukaan Kumpulan A akan berlangsung pada 14 Ogos di mana Myanmar bertemu Singapura di Stadium Selayang (4 petang) manakala Malaysia berdepan Brunei di Stadium Shah Alam (8.45 malam).

Manakala perlawanan Kumpulan B pada 15 Ogos pula akan menyaksikan Thailand berentap dengan Indonesia di Stadium Shah Alam (4 petang), Vietnam menentang Timor Leste di Stadium Selayang (4 petang) dan Kemboja berdepan Filipina juga di Stadium Selayang (8.45 malam). – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -