Dari kiri: Asan Ahmad (Timbalan Presiden SAM), Datuk Kamal Harun (Konsultan F&N Beverages Marketing Sdn Bhd), Leong Wai Yin (Pengarah Pemasaran 100PLUS), Ahmad Khawari Isa (Presiden SAM), Izahar Atan (Naib Presiden SAM).
Dari kiri: Asan Ahmad (Timbalan Presiden SAM), Datuk Kamal Harun (Konsultan F&N Beverages Marketing Sdn Bhd), Leong Wai Yin (Pengarah Pemasaran 100PLUS), Ahmad Khawari Isa (Presiden SAM), Izahar Atan (Naib Presiden SAM).

Atlet-atlet yang berjaya meraih pingat semasa di temasya Sukan Olimpik Rio de Janeiro tahun lepas mendominasi pencalonan untuk Anugerah Atlet Terbaik pada Majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2016.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi akan menjadi tetamu kehormat pada majlis penyampaian anugerah yang akan diadakan di Grand Ballroom, Hotel Concorde Kuala Lumpur pada 2 Mac.

“Kerjasama diantara SAM dan 100PLUS yang terjalin sekian lama membuktikan hubungan dengan syarikat syarikat luar selaku penaja kami semakin erat,” kata Presiden SAM, Ahmad Khawari Isa yang menerima replika cek daripada 100PLUS hari ini.

Pengarah Pemasaran 100PLUS, Leong Wai Yin turut menambah: “kami akan terus memberikan kerjasama terhadap SAM.”     

Kesemua pemenang pingat temasya Sukan Olimpik termasuk pemenang pingat perak tiga kali berturut-turut acara badminton perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei disenarai pendekkan oleh SAM bagi merebut anugerah berkenaan kali ini.

Menyuntik kelainan pada Majlis Anugerah SAM-100PLUS 2016, SAM telah menambah jumlah atlet yang disenarai pendek kepada 7 (tujuh) calon berbanding hanya 5 (lima) dalam tahun-tahun sebelum ini.

Selain Chong Wei, pemenang pingat di Sukan Olimpik Rio yang turut tersenarai ialah gandingan Pandelela Rinong-Cheong Jun Hoong (terjun), Goh V Shem-Tan Wee Kiong (badminton), Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (badminton) dan Azizulhasni Awang (berbasikal).

Turut tersenarai ialah pelumba Moto3 yang berjaya meraih dua kemenangan podium pada Kejuaraan Grand Prix Motosikal Dunia, Khairul Idham Pawi dan jaguh dunia pencak silat, Mohd Al-Jufferi Jamari.

SAM pada majlis anugerah kali ini juga akan memperkenalkan Anugerah Atlet Paralimpik terbaik buat kali pertama.

Calon-calon tersenarai ialah Abdul Latif Romly (lompat jauh T20), Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru T20), Mohd Ridzuan Mohd Puzi (100 meter T36) dan Siti Noor Radiah Ismail (lompat jauh T20).

Pemenang untuk kedua-dua anugerah ini akan menerima hadiah wang tunai RM10,000 dan sebuah trofi.

Selain memberi pengiktirafan kepada atlet yang mencapai kejayaan cemerlang, wartawan sukan juga berpeluang memenangi hadiah wang keseluruhan berjumlah lebih RM50,000 melalui Anugerah Sukan SAM-100PLUS kali ini.

Anugerah itu terbahagi kepada enam kategori – Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik.

Pemenang setiap kategori akan menerima hadiah RM3,000 dan trofi serta berpeluang dinobatkan sebagai pemenang keseluruhan yang akan menerima hadiah wang tunai RM7,000 dan Piala Siebel.

 

- Advertisement -