Oleh Muhammad Aiman
Di sebalik prestasi tidak menentu barisan atletnya, skuad petanque negara tetap tidak mahu ketinggalan untuk menyumbang pingat buat kontinjen Malaysia di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos depan. 
Dua emas dilihat sebagai sasaran realistik dan jurulatih petanque negara, Zani Lisa Mohamed berkata persiapan ketika ini berjalan lancar dengan penekanan terhadap aspek mental bagi memastikan semua atlet berada pada tahap terbaik di hari pertandingan. 
“Kita sedang bekerjasama dengan Institut Sukan Negara untuk membimbing mereka atasi rasa gemuruh serta tekanan dan semuanya di landasan tepat. Malah motivasi atlet juga semakin hari semakin bertambah baik. ¬†
“Jadi saya percaya kita boleh perbaiki pencapaian dua tahun lalu. Itu adalah sasaran kita, ketika di Singapura 2015, kita melakar sejarah dengan memenangi emas pertama. Kita tidak mahu janjikan bulan dan bintang, bagi saya dua emas adalah dalam jangkauan dan boleh direalisasikan.¬†
“Saya berharap kita boleh pertahankan emas perseorangan lelaki selain meraih emas acara berpasangan. Bagaimanapun potensi melalui acara lain tetap ada,” kata Zani.¬†
Zani juga menjelaskan bahawa peluang memenangi emas lebih seimbang dan terbuka kepada semua negara bertanding di KL 2017 memandangkan peraturan hanya membenarkan seorang atlet mengambil bahagian dalam satu acara berbanding ketika di Singapura di mana atlet dibenar menyertai semua acara tanpa had sehingga membolehkan Thailand mendominasi emas (menang 8 daripada 10 emas dipertandingkan). 
Sukan Petanque di KL 2017 akan mempertandingkan sebanyak tujuh pingat emas membabitkan acara perseorangan lelaki dan wanita, berpasangan (beregu), bertiga (trio) dan juga berpasangan campuran. 
Pada 2015, pingat emas tunggal negara disumbangkan oleh Mohamad Hafizuddin Md Daud. Ketika itu, Malaysia turut membawa pulang tiga pingat perak dan sebutir gangsa dengan kesemua pemenang pingat itu masih berada di dalam pasukan.
Mengenai pemilihan atlet, Zani berkata, “Kita akan menyenaraikan 16 atlet terdiri daripada 8 lelaki dan 8 wanita. Buat masa ini ada 18 atlet menjalani latihan fasa akhir, kita akan buat penilaian berdasarkan prestasi semasa dan sumbangan pingat dua tahun lalu sebelum menggugurkan seorang atlet lelaki dan seorang atlet wanita.”
Bagi tujuan pendedahan, atlet-atlet petanque juga banyak  berkampung menjalani latihan dan menyertai pertandingan di luar negara. September tahun lalu mereka telah ke Perancis dan selepas ini beberapa atlet akan menimba pengalaman pula di Belgium.
- Advertisement -