Pulau legenda, Langkawi, kembali tersenarai dalam laluan perlumbaan ‘Petronas Le Tour de Langkawi 2024’ (LTDL 2024) yang turut menyaksikan dua peringkat perlumbaan julung kalinya bakal dilangsungkan di Sarawak.

Edisi Ke-28 perlumbaan berbasikal paling berprestij di benua Asia ini dijadualkan berlangsung daripada 29 September sehingga 6 Oktober 2024 dengan dua bandar di Sarawak, Miri serta Bintulu, bakal menjadi hos buat kali pertama selain bandar Kulai di Johor yang turut dipilih untuk kali ini.

Keseluruhan 11 negeri akan menjadi hos pelepasan dan penamat untuk Petronas LTDL 2024 kali ini yang akan dianjurkan untuk tahun kedua berturut-turut oleh Majlis Sukan Negara (MSN) setelah kejayaan cemerlang penganjuran perlumbaan tahun lalu.

Yang Berhormat Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, turut mengumumkan keputusan mengekalkan tema perlumbaan ‘Beat The Heat’ yang diakui memikat perhatian selain mencetus persaingan bertaraf tinggi di antara pelumba-pelumba untuk mengungguli perlumbaan penuh mencabar pada kali ini.

Ianya berikutan langkah penganjur menyenaraikan dua laluan berbukit bagi edisi perlumbaan kali ini, membabitkan pendakian berturut-turut (back to back mountain climbs) bagi peringkat ketiga di Cameron Highlands, diikuti pendakian ke Genting Highlands untuk peringkat keempat.

Pelumba- pelumba bakal diuji dengan jarak perlumbaan hampir 200 km untuk peringkat ketujuh dari Miri ke Bintulu yang menyediakan peluang membuat pemecahan (breakaway) dan mampu jadi penentu juara keseluruhan Petronas LTdL kali ini.

Tiga pasukan berbasikal negara dijangka menyertai perlumbaan kali ini iaitu Pasukan Berbasikal Lebuhraya Kebangsaan, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) dan Malaysia Professional Cycling (MPC).

Pada perlumbaan Petronas LTDL 2023 lalu, pelumba TSG, Mohd Aiman Zarif dan Nurul Amirul Fakhruddin berjaya mengungguli jersi Raja Bukit di peringkat pertama dan kedua manakala pelumba pasukan kebangsaan, Nur Aiman Zarif berjaya menguasai jersi Pelumba Terbaik Asia di peringkat ketiga perlumbaan.

Kementerian Belia dan Sukan juga mengalu-alukan sokongan tambahan daripada penaja-penaja korporat dengan jaminan pulangan pelaburan (ROI) yang bersesuaian demi memastikan kejayaan penganjuran Petronas LTDL 2024 pada kali ini.

- Advertisement -