PELUMBA Alpecin-Deceuninck, Jakub  Mareczko memenangi pecutan beramai-ramai ke garisan penamat di Meru Jaya hari ini, untuk menambah koleksi kemenangan peringkat kali keempat buat dirinya di akhir Peringkat 4 PETRONAS Le Tour de Langkawi 2022.

Pelumba kelahiran Poland yang memegang kewarganegaraan Itali itu membuat perancangan bijak untuk mengetepikan asakan Rudiger Selig dari Lotto-Soudal dan pemenang tempat ketiga dari Drone Hopper-Androni Giacattoli, Eduard Grosu, melintasi garisan penamat dengan catatan masa 3 jam 15 minit 37 saat.

Pelumba 28 tahun yang menang 2 peringkat LTdL pada 2017 dan 1 peringkat pada 2016 berada pada posisi yang tepat di belakang rakan sepasukan Lionel Taminiaux yang menariknya ke depan sebelum membuka ruang buat Mareczko membuat henjutan pada kira-kira 200 meter terakhir.

“Ini hasil bantuan rakan sepasukan dan saya hanya melakukan tugas sebaik mungkin. Saya gembira dengan satu lagi kemenangan di LTdL ini,” kata Mareczko yang menyinar dengan 3 peringkat kemenangan ketika bersama Southeast Pro Cycling sebelum dilamar Vini Zabu dan menyertai Alpecin pada awal tahun ini.

Ditanya sama ada dia menyedari ada berlaku kemalangan di belakangnya ketika menghampiri garisan penamat, pelumba kelahiran Jaroslow, Poland itu berkata dia berada di kelompok depan dan tidak sedar apa berlaku di belakangnya.

Di akhir peringkat sejauh 137km yang bermula di Sabak Bernam itu, empat jersi taruhan LTdL 22 tidak bertukar tangan dengan pelumba Movistar, Ivan Sosa yang cemerlang di Genting Highlands semalam, sekadar berkayuh secara selamat dalam kelompok besar untuk memastikan jersi kuning pendahulu keseluruhan menjadi miliknya.

Pelumba Astana-Qazaqstan, Gleb Syritsa yang menyarung jersi hijau Raja Pecut juga masih mempertahankan kedudukannya tetapi hanya 2 mata di depan Erlend Blikra (UNO-X Cycling Team) dan Mareczko.

Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team, Muhammad Nur Aiman Zariff juga masih menyarung jersi merah Raja Bukit kerana tiada zon pendakian di sepanjang laluan Peringkat 4 tetapi pujian harus diberi kepada rakan sepasukan dari Mongolia, Jambaljamts Sainbayar yang berusaha keras untuk merapatkan kedudukannya di belakang penyarung jersi putih Pelumba Terbaik Asia yang disandang pelumba Astana, Andrey Zeits.

Perancangan Sainbayar untuk memburu masa bonus 3 saat di setiap tiga zon pecutan membolehkan dia mengumpul 9 saat dan kini hanya berada 1 saat di belakang Zeits, selain memperbaiki kedudukan keseluruhannya di tangga kesembilan.

Sebaik pelumbaan dilepaskan dan hujan mengiringi kayuhan awal pelumba di hadapan Dewan Tun Razak, Sabak Bernam, skrip yang sama dapat disaksikan dengan cubaan melolos diri awal dalam kumpulan kecil, kali ini melibatkan tiga pelumba – Sainbayar, Ricardo Zurita (Drone Hopper-Andrioni) dan Ryuki Uga (UKYO) – yang menguasai zon pecutan pertama di Hutang Melintang (14km) dan berada kira-kira 3:25s di depan tetapi dikawal peloton yang mengekalkan tempo kayuhan supaya tidak terlalu jauh di depan.

Pada jarak 50km, kumpulan tiga pelumba itu hanya berada 1:40s di depan tetapi tidak menjejaskan usaha Sainbayar yang terus mengutip masa bonus 3 saat, memenangi zon pecutan kedua di Kampung Gajah (60.6km) dan ketiga di Tanjung Tualang (83.5km).

Selepas itu, barulah pasukan yang mempunyai pakar pecut seperti Alpecin, Astana dan UAE Team Emirates silih berganti mengetuai peloton yang bergerak laju untuk mengurangkan perbezaan masa yang turun mendadak, dari 2:20s, 1:45s, 1:28s, 1:15s dan 50s ketika jarak berbaki 35km sebelum menelan pelumba di depan pada baki 5km terakhir.

Peringkat 5 LTdL esok membabitkan kayuhan sejauh 172km dari Kuala Kangsar ke Kulim, dengan tiga zon pecutan di Lenggong, Selama dan Karangan serta satu zon pendakian kategori 4 di Sumpitan.

- Advertisement -