Ketua jurulatih Melaka United FC, Zainal Abidin Hassan mengesahkan pemain tengahnya, S. Kumaahran terpaksa diketepikan dalam aksi separuh akhir kedua TM Piala Malaysia malam ini susulan kecederaan.

Kecederaan harmstring yang dialami Kumaahran ketika bertemu Kuala Lumpur City FC pada Isnin lalu masih membelenggu dirinya dan satu pertukaran bakal dibuat oleh Zainal untuk aksi penentuan ke final pada malam ini.

Walaubagaimanapun, perubahan itu tidak akan menjejaskan persiapan skuad Melaka kerana beliau telah merangka pelan terbaik untuk memastikan barisan pemain mampu berjuang habis-habisan menewaskan lawan sekaligus mampu mara ke final.

“Satu perubahan akan saya lakukan pada malam ini kerana Kumaahran masih belum pulih sepenuhnya disebabkan harmstring masa lawan Kuala Lumpur.

“Jadi kami masih dalam perbincangan lagi untuk pilih pemain mana yang akan menggantikan dia pada malam ini.

“Sebenarnya kami ingat Kumaahran sempat sembuh dan bermain, tetapi malangnya kita tengok kecederaan dia masih lagi belum betul-betul baik,” katanya.

Dalam masa sama, Zainal mengharapkan anak buahnya mampu mengawal pergerakan Kuala Lumpur dengan lebih ketat berbanding aksi pada Isnin lalu selain mahu pasukan tidak bolos sebarang gol memandangkan mereka juga sudah ada kelebihan satu gol di tempat lawan.

90 minit perlawanan ini cukup berharga kerana ia akan menentukan adakah Melaka mampu mencipta sejarah layak ke final TM Piala Malaysia buat kali pertama atau sebaliknya.

“Malam ini adalah malam yang cukup penting bagi pasukan kerana ia akan menentukan perjalanan kami seterusnya dalam saingan Piala Malaysia.

“InsyaAllah 90 minit ini akan membuktikan kemampuan pasukan dan harapnya apa yang mereka telah curahkan terutamanya dalam kejohanan ini akan memberikan keputusan yang baik kepada Melaka kali ini.

“Yang penting sekali adalah kita bermain di tempat sendiri dan sudah tentu, pemain kena lebih berdisiplin berbanding aksi Isnin lalu.

“Saya mahu pemain saya tidak memberi peluang langsung kepada lawan untuk meledak gol dan kita sendiri kena mengambil seberapa banyak peluang yang diperoleh untuk melakukan jaringan”, tambahnya.

Separuh akhir kedua TM Piala Malaysia akan berlangsung pada malam ini bagi menentukan pasukan manakah yang akan mara ke final.

Melaka akan menerima kunjungan Kuala Lumpur di Stadium Hang Jebat manakala Johor Darul Ta’zim (JDT) akan melakukan perhitungan dengan Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim.

- Advertisement -