Malaysia meraih pingat emas ketiga di Sukan SEA ke-33 Thailand 2025 selepas gimnas artistik negara, Rachel Yeoh, mempamerkan rutin cemerlang untuk merampas kembali emas acara Uneven Bars yang pernah dimenanginya pada 2022.

Atlet berusia 24 tahun itu mengungguli saingan dengan mengumpul 13.300 mata di Gimnasium Universiti Thammasat, Kampus Rangsit.

Yeoh, yang memenangi emas di Hanoi 2022, sekali lagi menyerlahkan kelasnya dengan mengatasi pencabar terdekat Haylee Garcia dari Filipina yang meraih pingat perak (12.300), manakala Colleen Kaijia Hong dari Singapura gangsa (10.933). Yeoh tidak dapat mempertahankan gelarannya tahun lalu susulan acara gimnastik artistik wanita tidak dipertandingkan di Kemboja, menjadikan kemenangan hari ini lebih bermakna.

Sementara itu, tumpuan utama hari ini terarah kepada pelari pecut sensasi tuan rumah, Puripol Boonson, yang dinobatkan Lelaki Terpantas Asia Tenggara. Puripol menjulang kejayaan dengan catatan 10.00 saat, mengatasi Lalu Zohri dari Indonesia (10.25) dan pelari Malaysia, Muhammad Roslee Danish, yang meraih gangsa dengan masa 10.26 saat.

Saringan awal sebelum itu menyaksikan Puripol mencipta kejutan besar apabila memecahkan rekod Sukan SEA dengan catatan 9.94 saat, menghapuskan rekod lama 10.17 saat milik Suryo Agung Wibowo dari Indonesia sejak 2009.

Ratu pecut Singapura, Shanti Pereira pula terus menguasai acara pecut wanita apabila mempertahankan gelaran 100m dalam 11.36 saat. Tempat kedua menjadi milik Jirapat Khanonta dari Thailand (11.54), diikuti Ha Thi Thudari Vietnam (11.58).

Skuad olahraga Malaysia memulakan kempen dengan baik, membawa pulang tiga perak dan dua gangsa pada hari pertama acara balapan dan padang. Momentum positif ini diteruskan dalam sukan lain, dengan Malaysia turut meraih pingat perak dalam acara slalom ski air, gimnastik lantai lelaki, renang, berbasikal bukit (mountain bike), taekwondo dan jujitsu.

Di gelanggang badminton, Malaysia mencatat perkembangan memberangsangkan apabila Leong Jun Hao dan Justin Hoh masing-masing mara ke suku akhir perseorangan lelaki.

Jun Hao mengesahkan slot suku akhir selepas menewaskan pemain Laos, Vixunnalath Phichiyth, dan akan bertemu pemain Thailand, Panitchaphop Teeraratsakul. Justin pula bakal berdepan bintang Thailand, Kanthapon Wangcharoen.

Dalam perseorangan wanita, Wong Ling Ching menewaskan Insyirah Khan dari Singapura untuk Bersiap menentang pemain Indonesia, Ni Kadek Amar Dinda di suku akhir.

Dalam beregu lelaki, gandingan utama negara Aaron Chia/Soh Wooi Yik menggalas hara[an menggunung apabila berdepan beregu tuan rumah, Supak Jomkoh/Kittinupong Kedren. Manakala Man Wei Chong/Tee Kai Wun pula akan berentap dengan pasangan Thailand, Peeratchai Sukphun/Pakkapon Teerasakul.

Harapan besar turut disandarkan ke atas beregu wanita, Pearly Tan/Thinaah Muralitharan, yang akan bertemu pasangan Thailand Benyapa Aimsaard/Sapsiree Taerattanachai.

Pilihan utama beregu campuran, Chen Tang Jie/Toh Ee Wei, akan bertemu pasangan Singapura Terry Hee/Jin Yu Jia, manakala Ho Pang Ron/Cheng Su Yin bakal berdepan cabaran getir menentang pilihan kedua, Dechapol Puavaranukroh/Supissara Paewsampran, dalam aksi yang dijangka sengit.

- Advertisement -