Pemain Wanita nombor 5 Dunia, Ratchanok Intanon bersedia untuk beraksi dalam tiga kejohanan utama di Bangkok bulan hadapan.
Pemain berasal Thailand itu berkata beliau akan beraksi dalam kejohanan Super 1000 buat pertama kali di tanahairnya dengan sasaran ke separuh akhir sebagai persediaan untuk ke Sukan Olimpik.
Muang Thong Thani Impact Arena akan menjadi lokasi tumpuan untuk tiga kejohanan berturut – Terbuka Yonex Thailand (12-17 Januari), Terbuka Toyota Thailand (19-24 Januari) dan HSBC BWF Jelajah Dunia 2020 Akhir (27-31 Januari).
Dua kejohanan pertama yang juga merupakan kejohanan Super 1000, masing-masing menawarkan wang sejumlah AS$1 juta; manakala kejohanan akhir Jelajah Dunia 2020 akan menawarkan AS$1.5 juta.
Senarai pemain yang layak ke aksi akhir Jelajah Dunia akan ditentukan pada akhir Terbuka Toyota Thailand.
Lapan pemain teratas dan beregu bagi setiap kategori kedudukan HSBC BWF Road to Bangkok akan dijemput untuk bertanding dengan kelayakan terhad kepada dua pemain atau pasangan bagi setiap persatuan.
Sementara itu, hanya sebilangan penonton dibenarkan hadir di Terbuka Toyota Thailand dan Jelajah Dunia Akhir.
Menurut penganjur, beberapa pemain utama akan mengambil bahagian dalam kejohanan-kejohanan di Bangkok termasuk pemain nombor satu Dunia, Kento Momota dari Jepun; Chou Tien-chen dari Taiwan (no.2 Dunia) serta Victor Axelsen dari Denmark (no.4 Dunia).
Bintang wanita seperti pemain nombor satu Dunia, Tai Tzu-ying dari Taiwan; Chen Yufei dari China (no.2 Dunia), Akane Yamaguchi dari Jepun (no.3 Dunia) dan Carolina Marin dari Sepanyol (no.6 Dunia) turut mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut. – Oleh Siti Zafirah Kamal
- Advertisement -