Sabah melaungkan amaran awal betapa mereka pasukan yang perlu diberi perhatian musim ini apabila melonjak selaku pendahulu 100 PLUS Liga Premier setelah menang bergaya 4-0 ke atas Terengganu FC II di Likas.

Lee Gil Hoon membuka tirai jaringan buat skuad bimbingan Jelius Ating itu sebelum Rawilson Batuil menambah dua jaringan dan Hector Ramos melengkapkan kemenangan 4-0 pada minit akhir permainan.

Uitm FC yang menewaskan Pulau Pinang 3-1 pada Khamis pula tergelincir ke tangga kedua manakala Felda United berada di kedudukan ketiga setelah menang 2-1 ke atas UKM FC di Stadium Selayang. 

Iain Ramsay dan Wan Zack Haikal menjaringkan gol buat skuad  bimbingan B.Sathiananthan masing-masing pada minit ke-32 dan 67 manakala gol tunggal UKM FC dijaringkan Waheed Akani pada minit akhir perlawanan.

Sarawak turut mengutip tiga mata setelah menewaskan Kuantan FA 1-0 menerusi jaringan tunggal Abdul Rahim dan melonjak ke tangga keempat manakala dua lagi perlawanan antara MIFA menentang Johor Darul Takzim II dan Felcra FC menentang PDRM berkesudahan seri 1-1.

Pemain skuad B-23 negara, Shafiq Ahmad meletakkan JDT II mendahului 1-0 pada minit kelapan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya namun MIFA mencuri satu mata menerusi jaringan penyamaan Kpah Sherman. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -