Pemain tengah skuad kebangsaan, Safiq Rahim percaya perlawanan menentang Lubnan dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2019 pada Selasa membekalkan peluang terbaik untuk Harimau Malaya bangkit menyerlahkan taring mereka di arena antarabangsa.

Kem pasukan negara agak suram dengan hanya satu aksi persahabatan diharungi dalam tempoh hampir tujuh bulan selepas diaibkan di Kejohanan Piala AFF Suzuki pada November tahun lalu, iaitu menentang Filipina yang berkesudahan seri tanpa jaringan Mac lalu.

Justeru, Safiq yang keluar dari persaraan bersama-sama tiga lagi pemain S.Kunanlan, Amirulhadi Zainal dan Aidil Zafuan Radzak untuk memperkuatkan semula pasukan bimbingan Nelo Vingada berkataĀ  permulaan positif akan memberi keyakinan untuk tahun 2017 yang lebih gemilang.

ā€œIni perlawanan pertama kita selepas lama tidak bermain, banyak yang telah berubah dari segi pemain, kejurulatihan, pengurusan. Jadi saya berpendapat ia satu keadaan berbeza, satu situasi yang baru buat saya sendiri dan saya berharap kami semua akan turun dengan tonik dan semangat baru untuk melonjakkan semula prestasi pasukan kebangsaan.

ā€œLebih penting juga, kita harus gunakan sebaiknya peluang bermain perlawanan pertama (pusingan kelayakan) di tempat sendiri. Kami semua perlu bermain sebagai satu pasukan, siapapun yang diberi kepercayaan berada dalam kesebelasan utama, perlu memberikan yang terbaik agar kemenangan dapat dicatat,ā€ kata Safiq yang bermain bersama Johor Darul Takzim.

Safiq yang juga antara pemain tengah terbaik Liga Malaysia ketika ini turut menyatakan sokongan dan keyakinan terhadap Vingada dan menggesa para peminat bolasepak tanah air agar sabar menanti keberkesanan perubahan yang dibawa pengendali dari Portugal itu.

Perlawanan Malaysia menentang Lubnan akan berlangsung pada 13 Jun di Stadium Larkin dan ia juga aksi pertama pasukan kebangsaan sejak di bawah pimpinan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Bagi Lubnan pula mereka mencari kemenangan kedua setelah menewaskan Hong Kong 2-0 pada aksi pembuka tirai Kumpulan B, 28 Mac lalu. Satu lagi aksi Kumpulan B akan menemukan Hong Kong dan Korea Utara. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -