Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) hari ini tampil menyumbang sejumlah 500 helai pakaian kepada Pusat Sehenti Urus Mayat Kuala Lumpur (PUSUM WPKL).

Pengerusi biro SAMprihatin Mohd Hazreen Nor Mubarak dalam kenyataan berkata usaha itu adalah kerjasama antara persatuan itu dengan syarikat pengeluar pakaian HakkaClo yang turut prihatin terhadap masalah dihadapi pusat berkenaan dalam mengendalikan lebih 100 mayat setiap hari.

Beliau berkata seramai 100 petugas pusat berkenaan memerlukan pakaian sesuai untuk aktiviti luar bagi menjalankan tugas harian mereka yang semakin membebankan sepanjang pandemik COVID-19.

“Ini adalah antara tanggungjawab sosial SAM menerusi biro SAMprihatin, dan kami akan berusaha sedaya upaya membantu sebaik mungkin.

“SAM mengucapkan setinggi terima kasih kepada HakkaClo yang tampil sebagai rakan penaja untuk membantu PUSUM WPKL. Kami berharap sumbangan kecil ini dapat membantu mengatasi masalah yang sedang dihadapi,” kata Mohd Hazreen.

Terdahulu, sumbangan itu disampaikan kepada Timbalan Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Rusilawati Judin pada majlis yang turut dihadiri exco SAM diketuai presidennya Norismadi Abd Manap di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN), Jalan Raja Muda, Kampung Baru di sini.

— BERNAMA

- Advertisement -