Selepas mempamer persembahan terpuji dalam penampilan julung kali di Le Tour de Langkawi (LTdL) edisi 2017, pasukan berstatus pro benua Asia dari Malaysia, Sapura Cycling Team (SCT) yakin mampu memberi cabaran lebih bermakna pada LTdL 2018, 18 hingga 25 Mac ini.

Malah persiapan pasukan itu yang menambah seorang lagi jurulatih tempatan, Fairoz Izni Abdul Ghani, selain terus mengekalkan Mahadzir Hamad, sejak Januari lalu juga lebih kemas dan teratur.

Hasilnya, Sapura meraih keputusan baik dan membanggakan dalam beberapa kejohanan yang dianggap sebagai medan persediaan dan pemanas badan bagi pelumbanya apabila beberapa kali berdiri di podium dalam perlumbaan bertaraf antarabangsa di luar negara.

Bermula dengan beberapa perlumbaan dalam negara, Sapura menyertai tiga perlumbaan jelajah dan dua perlumbaan sehari di dalam dan luar negara sejak Januari lalu, termasuk Kejohanan Berbasikal Asia di Nay Pi Thaw, Myanmar; Tour of Indonesia, Tour of Mediterranean dan Grand Prix Antalya di Turki.

Pengurus pasukan Sapura Cycling Team, Sayuti Zahit berkata berdasarkan persiapan lebih rapi kali ini, pasukan itu turut meletakkan sasaran lebih tinggi pada penampilan kedua kali ini, dengan Victor Nino dan Wilmar Jahir Perez terus diharap menjadi pencabar kepada jersi kuning keseluruhan.

“Menerusi kedua-dua pelumba kelahiran Colombia ini, kami berharap mereka akan dapat memperbaiki kedudukan musim lalu di mana Victor berada di kedudukan ke-18 manakala Wilmar di kedudukan ke-19 keseluruhan individu.

“Mereka hanya sedikit ketinggalan di belakang pemenang peringkat pendakian di Cameron Highlands, Mekseb Debesay (Dimension Data) dan kami berharap kali ini kedua-dua pelumba ini mampu bekerjasama lebih baik dan melakukan sesuatu di peringkat yang dianggap penting dan menjadi penentuan dalam klasifikasi jersi kuning ini.

“Untuk LTdL 2018 ini, SCT mensasarkan mereka mampu berada dalam kelompok 14 teratas, sekali gus membantu pasukan untuk berada dalam kelompok lapan terbaik berpasukan, selepas hanya menduduki tangga ke-10 keseluruhan pada 2017.

“Kami juga berharap mampu menempatkan diri dalam kedudukan tiga terbaik Asia,” kata bekas pelumba trek dan lebuhraya kebangsaan itu.

Berdasarkan senarai awal, SCT akan menyenaraikan Muhammad Zawawi Azman, Muhammad Nur Aimin Mohd Zharif, Adiq Husainie Othman, Nino, Jahir dan pelumba kelahiran Indonesia, Aiman Cahyadi.

Namun SCT turut baru melamar pelumba kelahiran Switzerland, Dylan Page yang menghasilkan beberapa keputusan memberangsangkan buat pasukan itu, sekali gus memberi dimensi baru dalam pemburuan kemenangan peringkat di laluan landai buat pasukan itu.

Malah Sayuti mengakui, pengurusan SCT kini mampu memasang sasaran lebih besar dengan mengintai kemenangan peringkat dalam LTdL 2018 ini, menerusi pecutan Page yang meraih beberapa keputusan podium buat SCT di Tour of Indonesia dan Tour of Mediterranean.

“Bagaimanapun, keputusan sama ada Dylan Page akan menganggotai senarai pasukan SCT ke LTdL 2018 ini akan dibuat pihak pengurusan sekembalinya pasukan dari Tour of Mediterranean kerana walaupun matlamat Sapura adalah untuk memberikan peluang dan pendedahan kepada pelumba muda tempatan, tidak dinafikan keputusan di akhir perlumbaan jelajah berprestij turut perlu diambil kira.

“Segala-galanya akan diumumkan oleh pihak pengurusan SCT beberapa hari sebelum LTdL bermula,” kata Sayuti.

Perlumbaan lapan peringkat bagi LTdL 2018 dijadual bermula di Kangar, Perlis pada 18 Mac, dua hari selepas Majlis Pengenalan Pasukan di Pulau Langkawi (16 Mac) dengan perlumbaan dijangka tamat di Kuala Lumpur pada 25 Mac.

Sejumlah 22 pasukan yang terdiri daripada pasukan WorldTour, Pro Benua, Benua dan pasukan kebangsaan mengesahkan penyertaan dalam edisi LTdL 2018 yang meliputi jarak keseluruhan 1,341km, melibatkan lapan negeri negeri di Semenanjung Malaysia.

Jelajah LTdL berstatus 2.HC dianjurkan Ciclista Sports dengan kerjasama penuh Kementerian Belia dan Sukan.

- Advertisement -