Piala Sultan Azlan Shah 2016

Oleh Muhammad Aiman

Malaysia hanya satu minit dipisahkan dari melakar keputusan sensasi membawa pulang pingat gangsa di kejohanan Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-25, namun akhirnya terpaksa akur dikecewakan New Zealand menerusi penentuan pukulan penalti pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan sekadar berpuas hati di tempat keempat.

Dengan Malaysia mendahului 3-2 dan perlawanan masuk ke minit terakhir, Kane Russel tampil meleburkan hasrat The Speedy Tigers apabila menyamakan kedudukan 3-3 buat The Kiwis, sekaligus menyaksikan pemenang ditentukan menerusi penentuan penalti.

Tatkala Australia menyempurnakan kesemua lima pukulan mereka, ianya Fitri Shaari yang gagal menyempurnakan pukulan penalti terakhir selepas Firhan Ashaari, Faiz Helmi, Shahril Saabah dan Haziq Shamsul menyempurnakan flik masing-masing. 

Malaysia turun berdepan New Zealand – pasukan di ranking kelapan dunia – setelah dibelasah India 6-1 pada aksi terakhir peringkat kumpulan, bagaimanapun skuad Stephen Van Huizen tampil dengan permainan lebih baik dan mendahului 2-0 selepas 11 minit perlawanan berlangsung, menerusi jaringan Ramadan Rosli dan Fitri Saari.

Ramadan meledak gol pada minit ketujuh menerusi gerakan individu yang cukup bijak, setelah mengelecek melepasi Arun Penchea dan dan menewaskan penjaga gol New Zealand Devon Manchester dari sudut sukar.

Empat minit kemudian, giliran Fitri mencuri tumpuan menerusi penyudah bertaraf dunia ke bumbung gawang New Zealand, memanfaatkan kerja keras Firhan yang sebelum itu memperdaya tiga pertahanan pasukan lawan.

Penyakit lama berulang di kem negara, apabila hilang fokus dan membenarkan New Zealand bangkit mengikat kedudukan 2-2 menerusi jaringan Hayden Philips (m-27) dan pukulan sudut penalti Kane Russel (m-43).

Stephen yang terkilan dengan kekalahan ini berkata, “Selepas perlawanan yang sukar menentang India, pemain-pemain bangkit dengan penuh semangat dan tunjukkan permainan terbaik mereka di hadapan penyokong sendiri. Saya sebenarnya cukup kecewa dengan kekalahan ini kerana kita sebenarnya berhak untuk menang dan berada di tempat ketiga.”

Bagaimanapun, Malaysia tetap boleh berbangga dengan pencapaian menduduki tangga keempat yang mana menepati sasaran awal yang diletakkan dan dalam masa sama memperbaiki pencapaian menduduki tangga tercorot tahun lalu.

- Advertisement -