Senarai baru atlet yang akan berlatih di bawah Program Podium akan diputuskan pada Khamis, 8 November di dalam satu mesyuarat antara Menteri Belia dan Sukan, Brig Jeneral Khairy Jamaluddin bersama-sama ahli jawatankuasa prestasi tinggi.  

“Ada atlet keluar (digugurkan) dan ada yang diserap masuk. Ini adalah sebahagian daripada reviu, kaji semula berkala untuk program Podium.

“Kita akan terima cadangan dari Podium sendiri dan mereka perlu pertahankan keputusan mereka, kenapa atlet tertentu keluar, kenapa atlet atau pasukan tertentu diserap.

“Selepas perbincangan terperinci, saya akan memuktamadkan senarai itu dan kemungkinan pada Jumaat pihak Podium akan menghebahkannya kepada umum,” kata Khairy ketika hadir pada Majlis Pelancaran Fasa ketiga Program Satu Pingat Satu Pokok di Bandar Sukan Bukit Jalil pada Rabu.

Untuk rekod, Podium dilancarkan pada Februari 2016 dengan jumlah awal 97 atlet merangkumi 21 jenis sukan berlatih di bawah program itu sebelum 12 atlet termasuk lapan atlet paralimpik digugurkan pada Februari tahun ini kerana gagal memenuhi kriteria ditetapkan.

Antara atlet berprofil tinggi digugurkan ketika itu adalah empat penembak – Siti Muslifah Zulkifli, Nur Suryani Taibi, Nur Ayuni Farhana Abdul Halim dan Mohd Ezuan Khan tatkala 32 muka baru diserap menjadikan jumlah terbaru bagi tahun 2017 adalah 117 atlet.-OLEH MUHD AIMAN 

- Advertisement -