RWGPL-Logo-VMeskipun tiada kelibat bintang ternama badminton tempatan mahupun dunia dalam senarai mereka, Serdang BC tidak rela terus dianggap sebagai pasukan bukan pilihan dan bersedia tampil dengan aksi lebih garang apabila saingan badminton Purple League kembali bersambung pada Rabu depan.   

Serdang, bimbingan bekas pemain kebangsaan Ong Ewe Hock bermula dengan langkah kanan berikutan dua kemenangan ke atas  Ampang Jaya BC dan Klang United BC pada minggu pembukaan dan cabaran getir menanti mereka minggu depan apabila turun menentang dua pendahulu awal dari Johor – Muar City BC dan Nusajaya BC. 

Ewe Hock, bekas pemenang emas Sukan Komanwel 1998 menganggap permulaan sempurna pasukannya dalam Purple League kali ini dibantu oleh semangat berpasukan yang cukup tinggi dan yakin ini akan menjadi tonik buat pasukannya mencatat keputusan-keputusan yang lebih baik selepas ini.

“Musim lalu kami tewas hampir 7-8 perlawanan awal dan hanya menang di penghujung saingan. Kali ini saya boleh katakan semangat berpasukan cukup tinggi di kalangan pemain berbanding musim lalu. Kami menang perlawanan awal dan adalah penting untuk mereka menjadikan ini sebagai permulaan untuk terus melangkah ke depan,” ujar Ewe Hock.

Tambahnya lagi, “Kita pasukan bukan pilihan. Jika tengok pada pemain pun, kita antara pasukan yang tiada nama besar. Kebanyakan pemain berada di ranking 40 atau 50 ke atas. Kami boleh dikatakan pasukan sederhana tapi semangat pemain cukup tinggi. Minggu depan adalah dua perlawanan sukar bagi kita, Muar City kemudian Nusajaya tetapi saya janji pemain saya tidak akan beri laluan mudah dan turun dengan aksi terbaik.”

Serdang yang ketika ini menduduki tempat ketiga menerusi beza perlawanan, akan menentang juara bertahan Muar City pada Rabu (25 November) diikuti Nusajaya pada Sabtu (28 November).

Antara pemain yang menjadi sandaran Serdang BC adalah Xu Wei dari China, pasangan beregu lelaki Tan Chee Tian/Yap Cheng Wen, Chen Zuofu/Tseng Min Hao dan pemain pelapis kebangsaan Lim Chi Wing.

Menariknya, Serdang BC turut memiliki juara baru remaja dunia, Goh Jin Wei yang muncul juara di Peru minggu lalu namun pemain itu tidak akan membawa cabaran Serdang dalam masa terdekat ini kerana terlibat dengan beberapa kejohanan antarabangsa.  

Dalam pada itu, pendahulu liga Nusajaya BC yang mencuri tumpuan selepas melakar dua kemenangan ke atas Petaling Jaya BC dan Kajang BC, boleh menjangkakan perlawanan yang sukar minggu depan kerana sebelum menentang Serdang BC pada Sabtu, mereka akan terdahulu melayan cabaran Ampang Jaya BC yang turun dengan misi mencari kemenangan sulung selepas dua kekalahan pada Khamis (26 November).   

Bintang Thailand, Boonsak Ponsana, pemain perseorangan Tan Teck Han dan beregu Teo Kok Siang/Hoo Thien How dijangka sekali lagi menjadi sandaran pasukan berpangkalan di Johor itu selepas menjadi tunjang kepada permulaan garang tempoh har manakala bekas pemain perseorangan wanita kebangsaan, Julia Wong hampir pasti mendapat kepercayaan untuk terus diteruskan selepas cemerlang ketika menewaskan Kajang BC.

- Advertisement -