Beberapa Rakan Kongsi Liga Malaysia menyahut seruan Presiden Malaysian Football League (MFL), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, untuk lebih bersedia menghadapi saingan liga musim depan yang dijangka terus mencabar ekoran situasi pandemik COVID-19 yang masih belum berakhir.

Mereka juga dalam masa sama akan sentiasa bekerjasama dengan apa jua yang diusahakan MFL dan selain berasa tetap bersyukur Liga Malaysia masih mampu dijalankan serta tidak dibatalkan seperti mana yang dihadapi sesetengah negara lain.

Pengarah Negeri Sembilan FC, Satwant Singh, berkata, beliau mengakui apa diperkatakan oleh Hamidin itu sambil menyatakan dua tahun yang telah dilalui sememangnya mencabar buat mana-mana pasukan.

Namun, beliau gembira sekurang-kurangnya Liga Malaysia mampu terus dijalankan serta menjadi antara industri sukan yang dibenarkan berjalan oleh Majalis Keselamatan Negara (MKN).

“ Saya faham apa sedang dilalui, orang luar mungkin senang nak komen tetapi secara keseluruhan sememangnya satu dunia terkesan dengan pandemik ini.

“ Pelbagai usaha dibuat oleh MFL dengan pindaan jadual ekoran ada perlawanan tertangguh kerana ada kes positif COVID-19, ini merupakan satu situasi yang sangat mencabar serta baharu untuk kita semua dalam dua tahun ini serta tidak dilupakan Piala Malaysia tahun lalu turut dibatalkan, begitu juga dengan Piala FA buat tahun kedua.

“ Dalam kesukaran itu, saya turut ucapkan terima kasih kepada MFL serta tidak dilupakan Kementerian Belia dan Sukan yang berjaya mendapat kelulusan dari Majlis Keselamatan Negara(MKN) agar Liga Malaysia boleh dijalankan.

“ Kita mendapat hak eksklusif ini dengan syarat menjaga SOP (Prosedur Standard Operasi) yang ditetapkan dan semalam Presiden juga ada menyebut yang pasukan akan dikenakan tindakan jika gagal menjaga SOP sehingga tercetusnya jangkitan COVID dalam kalangan pemain atau pegawai, ” katanya.

Dalam mesyuarat semalam, Hamidin juga mengingatkan agar Ahli Lembaga Pengarah MFL supaya bersedia dengan perancangan lebih awal bagi Liga Malaysia 2022 yang dijangka lebih mencabar dalam tempoh pandemik COVID-19 yang masih belum berakhir.

Beliau juga memaklumkan kepada semua Ahli Pengarah MFL supaya bersedia dengan perancangan awal supaya kalendar Liga Malaysia tahun depan lebih lancar memandangkan negara belum pasti akan pulih sepenuhnya daripada penularan jangkitan wabak COVID-19.

Pada mesyuarat semalam, MFL mengumumkan pelantikan tiga Ahli Lembaga Pengarah yang baharu sebagai wakil pasukan bagi penggal 2021-2025 menerusi pemilihan yang diadakan secara maya.

Satu daripada tiga pelantikan itu menerusi pemilihan oleh 22 Rakan Kongsi Liga merupakan individu baharu adalah Pengarah Eksekutif Melaka United FC, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri manakala Pengarah Johor Darul Ta’zim (JDT), Datuk Mohamad Jaifuddin Bujang Mohidin yang sebelum ini memegang jawatan Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk wakil bebas pada 2017 kini telah dipilih oleh Rakan Kongsi Liga sebagai Ahli Lembaga Pengarah MFL bagi wakil pasukan.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif UiTM FC, Mustaza Ahmad pula meneruskan tugas bagi penggal kedua sebagai wakil pasukan dalam barisan Ahli Lembaga Pengarah MFL.

Dalam masa sama, MFL telah meminda Perlembagaan MFL iaitu Klausa 16.3 (c) berkaitan penggal Ahli Lembaga Pengarah MFL dengan sekretariat mencadangkan pindaan kepada klausa penggal Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk menjelaskan bahawa sekiranya wakil kelab tidak lagi memegang jawatan Pengerusi atau Presiden, Ahli Lembaga Pengarah, Ketua Pegawai Eksekutif, atau Pengurus Besar Kelab, mereka akan secara automatik hilang jawatan mereka sebagai Ahli Lembaga Pengarah MFL.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang, berkata, beliau melihat rasional kepada pindaan itu yang bertujuan menjaga kepentingan 22 rakan kongsi Liga Malaysia.

Tambahnya, tidak wajar seseorang yang telah berada di luar sistem Liga Malaysia masih lagi memegang peranan selaku Ahli Lembaga Pengarah kerana dikhuatiri sudah tidak mengetahui sentimen yang berlaku dalam kalangan rakan kongsi.

“ Pengalaman dalam mentadbir sesebuah kelab ini amat penting dalam mencorakkan kepentingan rakan-rakan kongsi yang lain saya amat setuju dengan pindaan ini.

“Perlu diingat, adanya semua kelab ini menjadikan MFL itu wujud dan suara-suara kelab ini perlu didengari serta diberi pertimbangan dari masa ke semasa.

“ Tidak munasabah jika mereka sudah tiada jawatan dengan mana-mana pasukan terus diberi peranan selaku Ahli Lembaga Pengarah dan ramai menyokong akan cadangan ini, ” katanya.

- Advertisement -