Pemain kompetitif FIFA, Roshand Shane melakar kejutan muncul juara Kejohanan TM ePiala Malaysia 2020 selepas menewaskan Muhammad Imran Burhanudeen dengan keputusan aggregat 3-0 pada aksi final semalam.

Roshand yang mewakili pasukan Felda United turun selaku pemain bukan pilihan dan ternyata mampu memberi saingan hebat kepada pencabar lain untuk mara ke final sebelum mengetepikan lawan yang mewakili pasukan Kedah itu.

Imran atau dikenali sebagai Imrandeen langsung tidak berpeluang untuk menjaringkan sebarang gol dalam aksi final semalam dan peluang itu digunakan sehabis baik oleh Roshand untuk menguasai perlawanan sehingga bergelar juara.

Lebih menarik, pemain muda berusia 23 tahun itu turut mengenepikan hasrat juara ePiala Malaysia 2019, Luqman Haziq Hajiman untuk mempertahankan gelaran apabila terlebih dahulu tewas di tangannya pada pusingan separuh akhir.

“Ia satu penghormatan apabila dapat menjadi juara dalam kejohanan yang dianjurkan oleh MFL (Malaysian Football League) apatah lagi ini merupakan pencapaian terbaik saya setakat ini dalam kejohanan kompetitif.

“Saya juga masih tidak percaya mampu tewaskan pemain-pemain hebat lain sebab saya tahu mereka bukan lawan yang mudah tetapi akhirnya, saya berjaya juga.

“Sudah pasti, saya ingin teruskan usaha untuk kejar lebih banyak kejayaan dan akan sentiasa menanti kejohanan yang dianjurkan oleh MFL pada masa akan datang untuk terus beraksi.

“Saya nak ucapkan banyak-banyak terima kasih kepada semua pihak yang menyokong walaupun saya hadir sebagai pemain bukan pilihan, terutamanya pasukan Felda United yang turut sama memberi semangat,” jelasnya.

Dalam pusingan separuh akhir yang berlangsung terlebih dahulu semalam menyaksikan Luqman selaku juara musim lalu tewas kepada Roshand dengan keputusan aggregat 3-2 manakala Imrandeen mara ke final selepas menundukkan juara eMFL 2020, Muhammad Faiz Hariry atau Favlain yang mewakili pasukan Terengganu FC.

Dengan kemenangan itu, Roshand berjaya membawa pulang hadiah wang berjumlah RM1,500 berserta barangan daripada Razer.

Untuk rekod, ini merupakan edisi kedua kejohanan sukan elektronik FIFA dibawah anjuran MFL, kali ini dengan kerjasama strategik bersama Telekom Malaysia (TM) yang sentiasa memberi sokongan dalam usaha untuk terus mempromosikan sukan ini dalam komuniti permainan FIFA.

Selain itu ia turut mendapat sokongan daripada penaja lain yang turut sama terlibat iaitu Esports Kuala Lumpur Association (ESKL) dan Razer.

- Advertisement -