kedah.celebrate

Oleh Muhammad Aiman

Jaringan pemain veteran, Shukor Adan tiga minit sebelum tamat perlawanan membantu Felda United melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas negeri kelahirannya Melaka dalam aksi Kumpulan D Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Hang Jebat.

Melaka yang memulakan kempen Piala Malaysia pertama mereka selepas tujuh tahun dengan menundukkan Terengganu, mengintai satu lagi kejutan di hadapan penyokong sendiri namun mendapati barisan pertahanan Felda cukup liat untuk ditembusi.

Felda pula dilihat lebih berminat untuk menyimpan kuku bagi meneruskan cabaran sengit mereka terhadap JDT dalam saingan Liga Super, menjadikan perlawanan berlangsung sedikit hambar dan ketika kedua-dua pasukan dilihat menghampiri wisel penamat tanpa jaringan, Shukor tampil mengecewakan Melaka.

Kemenangan membolehkan Felda bangkit dari kekalahan kepada Terengganu pada perlawanan kedua dan mengungguli Kumpulan D dengan enam mata, manakala Melaka di tempat ketiga dengan tiga mata.

Di Kuching, aksi Kumpulan A menyaksikan tuan rumah Sarawak turut berputih mata setelah tewas kepada T-Team menerusi dua jaringan pemain import, Patrick Cruz pada minit ke-69 dan 90 sekaligus melonjak ke tangga kedua manakala Sarawak di kedudukan terakhir.

Kedah kekal di tangga teratas kumpulan setelah mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang JDT II di di Alor Star.

Lima lagi perlawanan akan berlangsung malam ini iaitu Pahang menentang Selangor dan Kelantan berdepan Kuala Lumpur bagi saingan Kumpulan B, Perak menentang JDT dan PKNS Selangor berdepan PDRM bagi Kumpulan C, serta Terengganu menentang Negeri Sembilan dalam Kumpulan D.

- Advertisement -