rp_Kelantan-logo-300x268-11.jpgOleh Muhammad Aiman

Singkir Kelantan dari Liga Malaysia, itu tindakan terakhir yang dicadangkan Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) Kevin Ramalingam seandainya Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) terus berdegil menyelesaikan isu tunggakan gaji bekas pemainnya.

Kevin berkata FMLLP sebagai entiti swasta yang menguruskan Liga Malaysia musim ini memandang serius isu yang dilihat tidak berkesudahan ini justeru berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak lagi berlembut atau ‘bagi muka’ kepada KAFA seandainya tidak melunaskan tunggakan gaji lima bekas pemainnya sebelum 31 Mei.

“FMLLP tiada kuasa untuk ambil tindakan, kerana beberapa perkara masih termaktub di bawah FAM seperti gaji pemain, kontrak dan tindakan tatatertib. Jadi kita cadangkan kepada FAM sebagai permulaan kenakan pemotongan mata.

“Jika gagal langsaikan juga turunkan mereka beraksi di Liga Perdana dan akhir sekali singkirkan dari Liga Malaysia. Sekiranya tiada tindakan tegas diambil ke atas pasukan yang sentiasa bermasalah dengan gaji ini, tiada perubahan ketara yang boleh disaksikan dalam liga kita.

“FMLLP berada di sini adalah untuk membawa perubahan dalam arena bolasepak Malaysia, tetapi untuk menjayakannya semua pihak perlu berikan kerjasama,” tegas Kevin yang turut pernah berkhidmat sebagai CEO anak syarikat KAFA, TRW Sdn Bhd.

Kenyataan Kevin itu hadir selepas lima bekas pemain Kelantan iaitu Fakri Saarani, Amar Rohidan, Nazri Ahmad, Fitri Omar dan Amiridzwan Taj mendakwa KAFA tidak menepati janji untuk melunaskan pembayaran baki tunggakan gaji yang sepatutnya dibuat pada 15 April lalu sepertimana telah dipersetujui antara KAFA dan kesemua pemain itu.

Situasi ini turut mengundang reaksi kecewa dari Persatuan Pemain Profesional Malaysia yang berkongsi harapan sama agar FAM tidak lagi bertolak ansur dengan sikap sambil lewa KAFA dan mahu tindakan tegas diambil sebagai pengajaran kepada semua pasukan lain.

Sementara itu, Kevin menasihatkan kesemua pasukan yang beraksi dalam Liga Malaysia untuk turut mencari inisiatif sendiri dalam menjana pendapatan menguruskan pasukan dan bukannya mengharapkan pemberian geran tahunan daripada FMLLP semata-mata, dengan menjadikan pasukan dari Jepun dan Korea Selatan sebagai contoh.

“Sekarang ini ada pasukan mendakwa pendapatan utama mereka sepatutnya datang dari Liga Malaysia (pemberian geran), itu tidak benar. Pasukan dari negara seperti Jepun dan Korea Selatan cuma dapat sebanyak empat peratus daripada geran yang sepatutnya diperoleh.

“Selebihnya mereka usahakan cari sendiri antaranya dengan komersialkan produk pasukan. Mereka tahu pendapatan dari liga tidak mencukupi,” jelas Kevin.

- Advertisement -