Skuad boling kebangsaan yakin dengan kebolehan masing-masing untuk menempuh sukan Para ASEAN 2017 kali ini dengan berbekalkan latihan yang mencukupi sejak tahun lalu. 

Sukan boling antara salah satu sukan yang disandarkan emas buat para atletnya untuk negara. Menurut ketua jurulatih tenpin boling Steven Teng, 10 emas dari 18 acara yang akan dipertandingkan menjadi sasaran. Lima dari kategori cacat penglihatan (TBP1,2,3) dan lima lagi dari ketegori cacat anggota (TBP 8,9,10).

” Saya percaya target kali ini sangat realistik kerana di Sukan SEA 2015 saya sasarkan lima emas tapi mereka berjaya bawa balik 8 emas. Jadi tahun ini saya percaya prestasi mereka sangat baik dan akan mendatangkan lebih emas buat Malaysia “, ujar Steven.

” Semua kategori ada peluang untuk menyumbangkan pingat cuma harapan tinggi saya letakkan pada acara beregu, trio dan berkumpulan dimana kita ada atlet yang kuat dan saling melengkapi untuk satu-satu acara tersebut “, tambahnya lagi ketika ditemui di Sunway Megalanes petang Jumaat. 

Apabila ditanya tentang pengalaman menjadi jurulatih atlet kelainan upaya ini, Steven akui tidak terlalu sukar untuk melatih mereka. Apa yang beliau lakukan adalah memahami setiap kelebihan dan kekurangan skuadnya dan membinas asas permainan yang kukuh bagi setiap atlet. 

” Meskipun mereka semua mempunya kebolehan yang berlainan tetapi saya mengaplikasikan asas dan teknik boling yang sama kepada semua. Saya percaya semua atlet saya melakukan pengorbanan yang besar demi menjayakan Sukan Para ASEAN ini”, jelas jurulatih itu lagi. 

Beliau yakin dengan berbekalkan beberapa pengalaman bermain di kejohanan dalam dan luar negara mampu membuatkan atlet boling negara sama kuat seperti lawan mereka dari Thailand dan Singapura. Apa yang tinggal hanyalah tahap kekuatan mental ketika di hari pertandingan nanti.

- Advertisement -