Oleh Muhammad Aiman

Jurulatih skuad wanita Jeonsa, Zamri Ismail percaya barisan pemainnya mempunyai kredibiliti diperlukan untuk memberi cabaran dalam saingan Liga Bolasepak Rakyat (LBR) 2017, yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Meskipun mengakui masih banyak kelemahan perlu diperbaiki setelah skuadnya yang baru dibentuk tewas 0-8 kepada Silver Gaurus (Perak) dalam aksi persahabatan pada Jumaat, Zamri mahu barisan pemainnya menerapkan sikap positif dalam diri dan membawa ‘winning mentality’ bersama-sama mereka.

Menurut Zamri, dia tidak mahu mengukur kekuatan pasukannya berdasarkan keputusan perlawanan itu kerana fokus sebenar adalah mempersiapkan sebuah skuad berdaya saing bagi beraksi di LBR 2017.

“Ini baru perlawanan kedua kita (persahabatan) dan pasukan ini dibentuk belum sampai pun sebulan. Jadi saya tidak mengharapkan kesempurnaan dari mereka, sebaliknya saya mahu mereka belajar, perbaiki diri dari semasa ke semasa.

“Walaupun tewas, pemain-pemain telah mendapat pendedahan dan game experience yang bagus. Ini juga menunjukkan betapa pentingnya kecergasan, daya tahan, kepantasan dan teknik. Kita perlu sentiasa berlatih sebagai sebuah pasukan dan bermain sebagai sebuah pasukan agar keseimbangan di setiap bahagian tidak hilang.

“Saya mahu pemain kekal positif, kekal fokus, tidak tinggalkan latihan dan berusaha memantapkan diri menjadi lebih kuat dan berani. Tanamkan kesungguhan, sikap kompeten dan mentaliti mahu menang dalam setiap perlawanan menjelang LBR nanti,” kata Zamri.

Skuad wanita Jeonsa sebelum ini menang 2-0 dalam aksi persahabatan pertama menentang National University of Singapore (NUS) pada minggu lalu dan Zamri berkata dia telah memuktamadkan senarai akhir 25 pemain (dari jumlah keseluruhan 30 pemain) berdasarkan penilaian di dua perlawanan ini.

Untuk rekod, tahun ini adalah tahun pertama LBR dianjurkan untuk kategori wanita setelah hanya mempertandingkan kategori lelaki sejak awal pengenalannya oleh Persatuan Bolasepak Malaysia pada 2015.

- Advertisement -