hockey-jr-wc
Oleh Muhammad Aiman
Pasukan hoki remaja negara mahu segera bangkit melupakan kekecewaan tewas perlawanan pembukaan dan fokus mereka kini mencari kemenangan sulung apabila turun berdepan Mesir pada Ahad dalam aksi kedua Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja 2016 di Lucknow, India.
Skuad bimbingan Wallace Tan bermula dengan kekalahan mengaibkan 2-7 kepada Belanda dalam aksi Kumpulan B Jumaat lalu, melepaskan tiga gol pada awal setiap separuh masa namun cuba menjelmakan kebangkitan pada 25 minit terakhir yang jelas sudah terlewat. 
Begitupun, di sebalik kekalahan besar, aksi berani dan semangat juang yang ditunjukkan ketika berdepan juara Kejohanan Eropah 2014 itu semestinya perlu diulangi pada baki dua perlawanan menentang Mesir dan Belgium jika berhasrat menyalakan peluang berada di kedudukan dua teratas kumpulan seterusnya layak ke suku akhir. 
“Menentang Belanda, ia adalah aksi pertama dan kami lambat mendapat momentum, lambat panas dalam cuaca yang sejuk. Keputusan perlawanan bukan ukuran kekuatan kita, pemain-pemain telah memberi yang terbaik pada akhir perlawanan, malah dua gol sudut penalti Belanda itu berpunca dari kesilapan kita sendiri. 
“Kita perlu fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan. Setiap perlawanan adalah penting dan semua pasukan adalah kuat di Piala Dunia. Kita yang akan tentukan nasib kita,” kata Wallace. 
Sementara itu, ketua jurulatih skuad senior Stephen Van Huizen yang turut berada di Lucknow sejak Khamis dan sempat menyaksikan perlawanan menentang Belanda, percaya barisan pemain muda negara ini mampu membuktikan sesuatu dalam masa sama mengharapkan aksi yang lebih baik dari mereka dalam baki dua perlawanan. 
“Kita perlu sedari bahawa pemain kita adalah bagus. Mereka ada kualiti dan saya harap ia dapat ditunjukkan apabika berdepan Mesir. Pemain-pemain Mesir mempunyai fizikal yang baik, tinggi tetapi ia bergantung kepada bagaimana kita memanfaatkan game-plan secara taktikal bagi mendapatkan keputusan positif,” kata Stephen. 
Aksi menentang Mesir nanti, Speedy Tigers belum pasti dapat menggunakan khidmat pemain tengah yang juga pakar flick, Muhammad Syafiq Syed Cholan yang masih dipantau pasukan perubatan setelah pemain itu mengalami kecederaan di keting kiri ketika menentang Belanda. 
Dalam pada itu, ketua jurulatih Mesir, Sayeed Elbediwy yang mempunyai 45 hari bagi mempersiapkan skuadnya untuk kejohanan ini, turut menyimpan hasrat sama agar pasukannya dapat bangkit dari kekalahan 0-4 kepada Belgium dalam aksi pertama. 
“Kami saksikan perlawanan Malaysia bertemu Belanda. Permainan mereka laju, sangat berkemahiran dan cukup mengancam di lewat permainan. Jadi kami tidak boleh tengok pada keputusan 7-2, ia hanyalah hari yang buruk buat mereka dan kami perlu berhati-hati. Kedua-dua pasukan perlu kemenangan bagi mencari tempat di suku akhir, sudah tentu ia perlawanan sengit,” kata Sayeed. 
- Advertisement -