100PLUS.NEW.2014.editOleh Muhammad Aiman

Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSMBJ) bertekad tampil dengan kualiti permainan yang jauh lebih baik apabila mereka berdepan SMK Seksyen 11 dalam perlawanan akhir Piala Kementerian Pendidikan Malaysia (B-14) di Bandar Penawar pada Ahad.

Meskipun SSMBJ yang menjuarai Liga Super Piala KPM pada bulan lalu akan turun selaku pasukan pilihan, jurulatihnya Wan Rohaimi Wan Ismail menegaskan belum masanya untuk mereka mendabik dada dengan status tersebut.

Justeru, Wan Rohaimi mengingatkan barisan pemainnya agar tidak terbuai dengan prestasi cemerlang ditunjukkan sepanjang musim ini.

ā€œKita perlu terus fokus. Kita telah lalui satu musim cemerlang, muncul juara Liga Super dan layak ke final Piala KPM, Namun, masih banyak kelemahan perlu diperbaiki, yang ketara sekali adalah sentuhan penyudah.

ā€œMemang menjadi sasaran kita menang setiap perlawanan, termasuk final ini. Tetapi yang penting adalah bagaimana mereka memenangi perlawanan itu.

ā€œSaya harap di final nanti, pemain saya dapat menunjukkan satu kualiti permainan yang bertambah baik, menghiburkan dari semua aspek, sama ada pertahanan, penyudah dan sebagainya.

ā€œMenang itu penting, tetapi kita tidak mahu menang nasib atau menang ā€˜kotorā€™. Kita mahu menang dengan tunjukkan satu kualiti yang baik,ā€ kata bekas pemain kebangsaan itu.

Wan Rohaimi turut menyatakan persiapan SSMBJ untuk aksi final berjalan lancar, dengan semua pemainnya bebas dari masalah kecederaan mahupun penggantungan perlawanan justeru yakin akan dapat membariskan skuad terbaik bagi merealisasikan hasrat memburu gelaran berganda. Ā 

Dia yang sudahpun beberapa kali meluahkan kebimbangan mengenai ketumpulan penyudah dijangka sekali lagi mempertaruhkan kelibat dua penyerang, Muhammad Danial Amali dan Harith Naim Jaineh bagi mengemudi barisan depan.

Untuk rekod, Danial muncul wira SSMBJ ketika aksi separuh akhir kedua 15 Oktober lalu apabila meledak dua jaringan yang membantu pasukannya menewaskan SMK Seri Kota dari Melaka 2-0, setelah terikat tanpa jaringan dalam aksi pertama.

Jika kemaraan SSMBJ ke pentas akhir sudah diramal, kejayaan SMK Seksyen 11 meneruskan langkahan pula boleh dianggap sebagai kejutan apatah lagi mereka pada awalnya bergelut dalam saingan Liga Super dan hanya menunjukkan peningkatan prestasi apabila bermula pusingan kedua. Ā 

Skuad bimbingan Md Dinos Talib itu hanya mengesahkan kemaraan ke suku akhir pada hari terakhir saingan liga, sebelum meneruskan fasa kebangkitan mereka dengan menyingkirkan SMK Seberang Temerloh di suku akhir dan kemudiannya menewaskan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail dengan agregat 3-2 di separuh akhir.

Bagi Md Dinos, dia selesa pasukannya turun sebagai underdog dalam masa sama memberitahu persiapan pasukan di landasan tepat dengan pemainnya menjalani latihan sepanjang minggu manakala kekerapan latihan turut digandakan. Ā 

ā€œKita telah berlatih di padang sintetik UiTM Shah Alam bagi membolehkan pemain menyesuaikan diri dengan keadaan padang dan kelajuan bola. Keyakinan pemain berada di tahap tinggi dan kita bersedia berikan yang terbaik untuk menyaingi SSBJ. Tiada apa yang perlu kami risaukan kerana berada di final itu sendiri adalah satu bonus buat kami,ā€ katanya.

Mampukah SMK Seksyen 11 menyekat dominasi SSMBJ yang mahu mengenggam trofi kedua mereka musim ini, akan terjawab apabila berlangsungnya aksi kemuncak Piala KPM B-14, jam 8 malam Ahad.

- Advertisement -