Perak masih perlu menunggu jawapan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membuat penampilan pertama di pentas Asia selepas 10 tahun.

Skuad The Bos Gaurus masih belum mendapat lampu hijau daripada FAM untuk beraksi di kelayakan Liga Juara Asia (ACL) 2019 meskipun jadual pertandingan itu yang turut disertakan nama mereka sudah mula tersebar di media sosial.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Abdul Aziz Yeop Jamaluddin, jadual yang tersebar itu bukan jadual sebenar yang dikeluarkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

ā€œDaripada apa yang saya dimaklumkan undian untuk kelayakan ACL belum dibuat lagi, dan Stuart Ramalingam (Setiausaha Agung FAM) juga menyatakan keputusan mengenai penyertaan Perak belum lagi diputuskan.

ā€œTetapi Perak sudah bersedia sepenuhnya untuk menyertai pertandingan itu. Kami ketika ini hanya menunggu pengesahan daripada FAM sama ada boleh gantikan Pahang atau tidak,ā€ kata Abdul Aziz.

Slot bermain di kelayakan ACL pada mulanya menjadi milik Pahang atas kapasiti selaku juara Piala FA namun penyertaan mereka menjadi tanda tanya kerana masih berada dalam penggantungan dua tahun daripada bermain dan memohon lesen AFC yang dikenakan oleh FAM gara-gara menolak tawaran bermain di Piala Asia 2018.

Mereka juga sehingga kini dilaporkan tidak mengemukakan sebarang rayuan kepada FAM walaupun sudah diminta berbuat demikian.

Justeru, slot itu akan diberi kepada Perak yang merupakan naib juara Liga Super dan berdasarkan jadual yang tersebar skuad bimbingan Mehmet Durakovic itu dijadual berdepan pasukan dari Hong Kong iaitu Kitchee FC di pusingan kedua kelayakan.

Sebagai rekod, hanya satu slot automatik diberikan kepada Malaysia untuk bermain di ACL 2019 dan ianya menjadi milik juara Liga Super, Johor Darul Takzim sekaligus menjadikan harimau selatan sebagai pasukan pertama tempatan untuk beraksi di pertandingan berprestij bagi kelab-kelab Asia itu. MUHD AIMANĀ 

- Advertisement -