Penang Black Panthers menghampiri gelaran juara Sepaktakraw League (STL Premier) 2018 setelah melakar kemenangan 2-0 ke atas Selangor Pistons di Gem In Mall, Cyberjaya pada Jumaat.

Kemenangan 21-18, 21-16 dilakar menerusi gandingan Syahir Rosdi-Azlan Alias-Zaim Razali ke atas Yushairil Amir Yusof-Farhan Adam-Amyrul Shafiq Shamuddin menyaksikan pasukan juara bertahan itu melonjak ke tangga teratas dengan baki satu perlawanan lagi untuk diharungi.

Penang Black Panthers kini perlu menang aksi terakhir menentang Melaka Titans dengan keputusan straight set dalam masa sama mengharapkan pencabar terdekat mereka ATM Guardians mencicirkan sekurang-kurangnya satu set daripada dua perlawanan berbaki untuk mempertahankan kejuaraan STL Premier buat musim ketiga berturut-turut.

“Saya belum mahu mengatakan kita sudah semakin hampir (bergelar juara) kerana peluang masih terbuka buat kedua-dua pasukan (Penang Black Panthers dan ATM Guardians) jadi kita masih tidak boleh dabik dada dengan kemenangan ini.

“Kedua-dua pasukan berdepan situasi sama perlu menang straight set dalam baki perlawanan jadi ianya adalah mengenai siapa yang kurang melakukan kesilapan pada saat genting ini dan mengambil peluang yang terhidang.

“Kita sudah melepasi satu halangan, tinggal satu lagi menentang Melaka Titans pada Ahad nanti dan saya tetap tidak anggap ianya sebagai perlawanan mudah. Setiap perlawanan adalah bagaikan final dan kita perlu kekal berada pada tahap terbaik untuk memenangi perlawanan tersebut 2-0,” kata jurulatih Penang Black Panthers, Helmi Ismail.

Sementara itu, kekalahan ke-12 buat Selangor Pistons menyaksikan pasukan itu kekal terperosok di tangga kesembilan dengan hanya 10 mata dan semakin hampir tersingkir ke STL Divisyen Satu musim depan.

Jurulatihnya, Amir Bakar berkata, “Kita berjaya bangkit pada set pertama walaupun ketinggala 8-4 dan 12-6, kita mengutip Sembilan mata berturut-turut dan mendahului 15-12, tetapi kemudiannya kita banyak melakukan kesilapan terutama di permainan jaring, perejam tidak pukul bola habis, dan balingan daripada apit kiri juga tidak menjadi, situasi sama juga berlaku di set kedua.”

Selangor Pistons akan menentang ATM Guardians dalam perlawanan terakhir dan Amir berharap pemainnya akan tetap dapat memberikan tentangan sengit dan cuba untuk memenangi perlawanan walaupun ia tetap tidak dapat menyelamatkan kedudukan mereka.

Dalam satu lagi aksi Johor Tigris melonjak ke kelompok empat teratas setelah bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Melaka Titans 2-1.

Regu gandingan Noor Azman Hamid-Muqlis Borhan-Noraizat Nordin tewas set pertama 21-23 kepada Sahidan Ali-Hasif Yusof-Asyraaf Zawawi sebelum menang 21-16 pada set kedua dan 21-14 pada set penentuan.

Keputusan (23 November) :

Penang Black Panthers mng Selangor Pistons (2-0 : 21-18, 21-16)
Johor Tigris mng Melaka Titans (2-1 : 21-23, 21-16, 21-14)

- Advertisement -