Pengendali skuad B-23 negara, Dato’ Ong Kim Swee akan memanggil dua lagi pemain senior bagi memperkuatkan cabaran pasukan yang akan beraksi di Sukan Asia dari 18 Ogos – 2 September depan, tetapi belum membuat keputusan siapa pemain yang akan disenaraikan.

Setakat ini, hanya ketua pasukan Kedah, Baddrol Baktiar merupakan pemain senior dalam skuad 27 pemain skuad B-23 yang akan mula menjalani latihan pusat pada 1 Julai, dan Kim Swee berkata beberapa nama telah dikenalpasti untuk mengisi dua lagi slot pemain senior di temasya yang akan berlangsung di Indonesia itu.

“Apa yang boleh saya katakan, besar kemungkinan dua pemain itu adalah untuk mengisi posisi pertahanan dan tengah. Kita sudah ada pilihan yang banyak untuk barisan depan, malah sudah ada Baddrol yang turut boleh bermain di posisi sayap.

“Saya sudah ada beberapa nama untuk dipanggil, tetapi saya hanya akan panggil mereka untuk menyertai latihan fasa akhir pada bulan Ogos nanti. Hanya selepas itu saya akan tentukan siapa dua lagi pemain untuk bersama-sama Baddrol,” kata Kim Swee.

Kim Swee ditemui Sports247 setelah hadir pada Majlis Pengumuman Kerjasama antara Yakult Malaysia dan Malaysia Football League di ibu negara, pada Sabtu.

Pada majlis yang sama itu skuad negara menerima penghargaan Ikon Sukan Yakult berikutan kejayaan melangkah sehingga ke peringkat suku akhir di Kejohanan Bolasepak AFC B-23 di China pada Januari lalu.  MUHD AIMAN 

 

- Advertisement -