ARENA Petanque di Taman Rekreasi Ulu Pudu, yang bakal siap sepenuhnya hujung Jun ini, mendapat pujian daripada Presiden Persekutuan Petanque Antarabangsa (FIPJP), Claude Azema yang menyifatkannya sebagai gelanggang bertaraf dunia. Azema menganggap gelanggang tertutup yang dibangunkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mempunyai 24 lane di dalam serta lapan lane di luar itu, lazimnya diguna untuk pertandingan berkelas dunia.

“Saya cukup tertarik, amat memukau. Malaysia menunjukkan kesungguhan untuk mengangkat martabat Petanque dengan adanya gelanggang berkualiti.

“Saya diberitahu Sukan SEA adalah kejohanan besar pertama akan diadakan di sini nanti, pasti ini suntikan hebat. Saya berpendapat ini kelebihan untuk Malaysia memenangi pingat, tidak kira apa warnanya,” kata Azema.

Beliau hadir menyaksikan acara pra-Sukan Sea Petanque di venue berkenaan pada Ahad (21 Mei) bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC), Dato’ Sri Zolkples Embong.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persekutuan Petanque Malaysia (PPM), Cheah Ban Cheng berterima kasih di atas inisiatif DBKL menyediakan sebuah gelanggang khas buat Petanque. Beliau yakin Arena Petanque dapat diketengahkan sebagai venue pertandingan terbaik di Asia Tenggara.

“Keadaannya cukup selesa tidak kira hujan ataupun panas. Buat masa ini, semuanya nampak tiada masalah…tetapi untuk anjurkan Sukan SEA, kita masih perlukan fasiliti tambahan seperti tempat duduk, tandas juga perlu ditambah untuk menampung penonton yang ramai.

“Saya yakin ini semua akan selesai dalam tempoh terdekat, memandangkan venue pun masih dalam proses penambahbaikan. Selain itu, kalau lihat tempat letak kereta, ianya sangat luas jadi tidak ada kebimbangan,” katanya.

Dato’ Seri Zolkples berkata, venue berkenaan adalah yang pertama seumpamanya dibina dalam negara. “Kini kita sudah ada venue berkelas dunia, jadi saya harap PFM memanfaatkan sepenuhnya. Penting untuk atlet banyakkan latihan di sini, menyesuaikan diri dengan persekitaran dan mendapatkan rentak apabila beraksi di tempat baru,” ujar Dato’ Seri Zolkples.

Sebelum berlangsungnya Sukan SEA Ogos nanti, Arena Petanque, yang menjadi tuan rumah Kejohanan Antara Negeri di mana sebanyak 18 ahli gabungan PPM akan dijemput untuk menentang pasukan kebangsaan, pada Julai nanti.

Sukan SEA mempertandingkan tujuh pingat emas iaitu bagi acara perseorangan (lelaki dan wanita), beregu (lelaki dan wanita), trio (lelaki dan wanita) serta berpasukan campuran.

- Advertisement -