Bintang badminton nombor satu India, PV Sindhu mengharungi musim 2019 yang tidak menentu dimana beliau berjaya merangkul gelaran Juara Dunia di Basel, Switzerland pada Ogos namun kecundang di Jelajah Dunia Akhir di Guangzhou, China empat bulan kemudian.

Pemain berusia 25 tahun yang juga pemenang pingat perak di Sukan Olimpik Rio 2016 ternyata tidak berpuas hati dengan pencapaiannya sepanjang musim lalu.

Kini beliau memberi tumpuan terhadap persiapan menuju ke Sukan Olimpik Tokyo yang dijadual berlangsung dari 24 Julai hingga 9 Ogos di Jepun.

Perodua Malaysia Masters dan Indonesia Masters yang akan berlangsung pada bulan ini penting buat pemain ranking ke 6 dunia ini yang diletak selaku pilihan keenam di Malaysia Masters dan dijadual berdepan pemain ke 25 dunia, Evgeniya Kosetskaya dari Rusia di pusingan pertama.

Pemain kelahiran Jepun, aya Ohori atau Busanan Ongbamrungphan dari Thailand akan menanti PV Sindhu di pusingan seterusnya sekaligus bakal merebut slot ke suku akhir.

Menerusi kenyataan kepada media tempatan baru baru ini, Times of India, Sindhu menetapkan pingat emas di Sukan Olimpik akan menjadi sasaran pertama dan paling penting selain muncul pemain nombor satu dunia dan memenangi kejohanan super series bagi tahun ini.

Sindhu gagal mempertahankan gelaran juara di Jelajah Dunia Akhir  apabila hanya memenangi satu perlawanan dalam saingan peringkat kumpulan di Guangzhou sekaligus menutup musim 2019 dengan noktah kekecewaan meskipun berjaya merangkul gelaran Juara Dunia.

Meskipun berdepan kritikan susulan aksi hambarnya walaupun menjadi pemain wanita dari India yang pertama memenangi gelaran Juara Dunia, beliau tetap tenang dan menerima dengan hati yang terbuka.

“Saya kekal positif dan belajar daripada kesilapan dan akan kembali dengan lebih kuat. Kritikan dan tekanan tidak memberi kesan. Saya perlu berlatih dengan lebih gigih dan memberikan yang terbaik,”kata Sindhu

Tambahnya lagi, beliau menumpukan untuk meningkatkan teknik malah menetapkan azam untuk memulakan musim baru dengan cemerlang.

Perodua Malaysia Masters Super 500 menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan USD 400 000 dan dipersembahkam oleh Daihatsu. Selain menjadi perlawanan pertama bagi Jelajah Dunia BWF, kejohanan ini turut menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo.

Pemain ranking kedua dunia, Tai Tzu Ying dari Taiwan, merupakan pilihan pertama disusuli pemain ranking pertama dunia, Chen Yufei dari China diletak selaku pilihan kedua. Nozomi Akuhara dan Akane Yamaguchi dari Jepun pula menjadi pemain pilihan ketiga dan keempat kejohanan.

- Advertisement -