Sukma XVII Perlis 2014 - Noor Masayu Zahir Mozni

Sukma XVII Perlis 2014 LogoSelepas empat hari pingat emas ditawarkan, akhirnya penantian emas tuan rumah SUKMA XVII, Perlis berakhir apabila atlet petanque wanitanya, Noor Masayu Zahir Mozni memenangi acara shooting, hari ini.

Kemenangan itu disambut dengan rasa lega oleh EXCO Belia dan Sukan Negeri Perlis, YB Abdul Jamil Saad yang hadir menyampaikan hadiah kepada Noor Masayu di gelanggang Petanque, Kompleks Sukan Syed Putra.

“Sudah empat hari kami menunggu, barulah detik emas ini tiba. Barulah kami mendengar lagu negeri Perlis berkumandang.

“Saya berharap ini bukan lagu yang terakhir kerana Perlis menaruh harapan besar meraih emas dalam banyak acara lagi,” katanya yang juga Pengerusi Urusetia Jawatankuasa Kecil Pengelola Sukma Perlis 2014 yang kini sedang berlangsung.

Menurut Abdul Jamil, sebagai tuan rumah Perlis amat menanti detik permulaan emas seperti itu kerana ia diharap dapat membakar semangat juang atlet negeri itu dalam pemburuan mereka untuk meraih 14 emas selaku tuan rumah pada edisi ke-17 ini.

Begitupun, beliau yang semakin hilang suara kerana turut turun padang memberi sokongan kepada atlet negeri Perlism, mengakui berasa sedikit tertekan kerana sebelum ini kerana selaku tuan rumah, jangkaan tinggi disandarkan terhadap atlet negeri itu untuk cemerlang di depan peminat negeri sendiri.

“Saya harap banyak lagi acara akan memberikan kami pingat emas selepas emas pertama ini,” katanya.

Namun, dia berkata, petanque dan emas yang dimenangi Noor Masayu itu sudah dijangka kerana ia juga menjadi sasaran Persatuan Petanque Negeri Perlis.

Setakat ini (28 Mei), Perlis sudah memungut 1 emas, 3 perak dan 18 gangsa.

- Advertisement -