Pasukan futsal negara menerima suntikan semangat terbaik menjelang aksi final Kejuaraan Futsal Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) 2017 menentang Thailand malam ini apabila melonjak sebanyak enam anak tangga dalam ranking dunia FIFA terbaru yang dikeluarkan pada Khamis.

Perkembangan itu menyaksikan skuad negara kini berada di kedudukan ke-51 dunia berbanding 57 pada bulan lalu, dan kejayaan melangkah ke final AFF serta aksi bertenaga ketika menentang Qatar (seri 1-1 dan menang 5-4) dalam dua perlawanan persahabatan baru-baru ini dilihat memainkan peranan penting peningkatan tersebut.  

Begitupun ketua jurulatih, Chiew Chun Yong tidak mahu terlalu cepat berpuas hati dan berharap berita baik ini akan membakar semangat pemainnya untuk memburu pencapaian lebih gemilang. 

“Saya gembira dengan perkhabaran ini, tetapi perjalanan kita masih jauh. Kita perlu kekalkan momentum yang tercipta sepanjang 2017 ini dan tunjukkan peningkatan berterusan bagi menyaingi pasukan-pasukan besar Asia yang lain seperti Jepun, Iran dan Thailand.

“Apa yang penting sekarang adalah kita tidak terlalu terbuai, jadikan ia pembakar semangat untuk berdepan Thailand dan cuba melakukan kejutan, mencipta sejarah menjuarai Kejuaraan AFF ini buat kali pertama,” ujar Chun Yong yang membimbing skuad negara memenangi pingat perak di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Pertemuan antara Malaysia dan Thailand dalam perlawanan akhir adalah yang ketiga sepanjang 14 edisi Kejuaraan Futsal AFF dianjurkan. Mereka pernah bertemu pada final 2003 dan 2005 dengan Thailand memenangi kedua-dua aksi tersebut.

Untuk rekod, Malaysia layak ke final dengan menyingkirkan tuan rumah, Vietnam 5-1 di separuh akhir sementara Thailand bimbingan Jose Mendez mara selepas menewaskan Myanmar 8-3.

Bagi Malaysia, ini adalah penampilan pertama di final sejak 2010 manakala Thailand pula terlalu dominan tidak pernah gagal ke final dalam setiap edisi (mereka tidak ambil bahagian ketika Indonesia muncul juara pada 2010) dan lebih menarik tidak pernah tewas dalam semua aksi final.    

Ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi Kumpulan B pada Sabtu lalu, Thailand mendahului selesa 5-0 pada satu ketika sebelum mengesahkan kemenangan 6-3 dan Chun Yong menegaskan pasukannya tidak boleh sesekali mengulangi kesilapan sama.

“Thailand adalah pilihan mutlak dan mereka adalah sebuah pasukan yang kuat, mereka mempunyai pemain yang lebih berkualiti dari segi teknik dan kemahiran individu. Tetapi persiapan di kem kita berjalan lancar dan kita sudah bersedia memberi tentangan. Kita perlu fokus dan mengelak dari tertekan dengan reputasi mereka itu.

“Saya akan membuat sedikit rombakan pada taktikal, selagi pemain bermain mengikut perancangan sepertimana ketika menentang Vietnam tempoh hari, saya percaya peluang kita tetap ada untuk memenangi aksi ini,” ujar Chun Yong lagi. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -