Oleh Muhammad Aiman

Setelah menjaringkan gol pada aksi pertama menentang Perak minggu lalu, Ahmad Syamim Yahya semakin bernafsu memburu jaringan gol tatkala pasukannya Pahang melayan kunjungan T-Team di Stadium Darulmakmur, malam esok.

Pemain itu adalah salah seorang daripada 14 muka baru dibawa masuk Pahang dalam musim revolusi mereka ini, dan jaringannya pada Sabtu lalu membantu Tok Gajah mencatat keputusan seri 1-1 menentang Bos Gaurus di Ipoh.

Sebelum ini, pemain berusia 26 tahun itu bermain di posisi sayap bersama Felda United selama dua musim. Dia menjaringkan enam gol pada 2015 namun musim lalu hanya menjaringkan dua gol gara-gara kerap dibelenggu kecederaan.

“Jurulatih Dollah (Salleh) meminta saya bermain di posisi baru selaku penyerang kedua, dan saya gembira saya tidak mengecewakannya. Tekanan di bahu saya sedikit berkurang setelah berjaya menjaringkan gol tapi saya perlu lebih banyak perlawanan untuk serasi dengan peranan baru ini.

“Saya masih terikut-ikut dengan posisi lama, membawa bola ke sayap kiri atau kanan, jadi saya perlu segera sesuaikan diri. Saya berharap dapat bermain dengan lebih baik di perlawanan-perlawanan akan datang,” kata pemain berasal dari Raub itu.

Tambahnya lagi, “Ianya mengecewakan untuk menghabiskan lebih banyak masa di luar padang merawat kecederaan musim lalu, tahun ini saya berharap dapat kekal tanpa cedera dan jaringkan lebih banyak gol. Sasaran saya adalah tujuh ke sepuluh gol, dan saya yakin boleh capai sasaran itu kerana saya dikelilingi pemain-pemain yang bagus.”

- Advertisement -