Pasangan beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terbukti mereka lebih unggu berbanding rakan senegara, pasangan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dalam aksi suku akhir Terbuka Jerman 2022, malam tadi.

Ini berikutan gadingan bukan pilihan kejohanan, Sze Fei-Nur Izzuddin menewaskan Yew Sin-Ee Yi, pilihan keenam kejohanan itu, untuk menempah tempat ke separuh akhir hari ini selepas mengharungi pertarungan sengit sehingga ‘rubber set’ yang berlangsung selama satu jam 15 minit.

Sze Fei-Nur Izzuddin bermula garang apabila mereka memenangi perlawanan set pertama, 21-15 namun Yew Sin-Ee Yi, bangkit memberi tentangan dengan kemenangan 22-20 sebelum Sze Fei-Nur Izzuddin mengesahkan slot separuh akhir, juga dengan kemenangan, 21-19.

Diperingkat separuh akhir malam nanti, Sze Fei-Nur Izzuddin, dijadual berdepan pasangan China, He Ji Ting-Zhu Hao Dong yang menundukkan beregu dari India, Krishna Prasad Garaga-Vishnuvardhan Goud Panjala dengan 21-11, 23-21.

Nasib tidak menyebelahi beregu campuran Malaysia, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing apabila tumpas di tangan pilihan utama dari Thailand Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai, 11-21, 18-21.

Terdahulu pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia turut mara ke separuh akhir selepas menewaskan Zhao Jun Peng dari China, 21-12, 21-18 danakan berdepan Kunlavut Vitidsarn dari Thailand untuk penentuan tiket ke pentas final.

- Advertisement -